Pengenalan   

        Memandangkan anak-anak adalah amanah Allah yang akan menentukan baik buruk masa depan keluarga dan masyarakat, maka pendidikan yang sempurna untuk mereka tidak boleh diabaikan sama sekali.

        Menyedari akan kepentingan ini maka Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN) mengambil inisiatif menubuhkan Sekolah Rendah Ibn Khaldun yang bertujuan untuk menyediakan sistem pendidikan yang berteraskan ajaran Islam secara formal.

        HALUAN ialah satu pertubuhan yang menggabungkan para lepasan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negeri bagi menggembelingkan tenaga, kepakaran dan segala sumber ke arah membangunkan masyarakat yang bermoral dan berteknologi tinggi. HALUAN telah didaftarkan pada tahun 1989 dan telah menjayakan projek-projek di bidang ekonomi dan kemasyarakatan.
         

        Sejarah Penubuhan Sekolah 



        Sekolah Rendah Ibn Khaldun ditubuhkan pada bulan Disember 1991 untuk sesi 1991/92. Statistik perkembangan murid dan kakitangan sekolah sehingga sesi 1998/99 adalah seperti berikut:
         
        Sesi
        Bilangan Murid
        Bilangan Kakitangan
        1991/92
        1992/93
        1993/94
        1994/95
        1996/97
        1998/99
        39
        60
        76
        155
        230
        386
        5
        8
        10
        23
        25
        25
         
        Falsafah 

        Falsafah pendidikan sekolah adalah :

        "Suasana pendidikan yang terancang, terpimpin, terkawal, kemaskini dan sempurna adalah perlu untuk menyubur dan meningkatkan potensi murid-murid ke arah melahirkan insan yang cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta dapat memberi khidmat terhadap manusia, negara dan alam berdasarkan keimanan dan kepatuhan kepada Allah."

        Matlamat Pendidikan SRIK 



        Matlamat pendidikan SRIK adalah seperti berikut :

        i.     Memberi didikan dan pengetahuan agama Islam, mengajar Al-Quran dan pelbagai bidang ilmu pengetahuan yang wajar kepada murid-murid, termasuk latihan jasmani dan rohani dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya.

        ii.     Memberi didikan ke arah melahirkan insan yang beriman dan bertaqwa    kepada Allah.

        iii.     Memberi didikan ke arah melahirkan insan yang cemerlang dalam    penguasaan ilmu di peringkat sekolah rendah.

        iv.     Memberi didikan ke arah melahirkan insan yang cemerlang dalam akhlak.

        v.     Memberi didikan ke arah melahirkan insan yang mempunyai potensi tinggi dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek untuk menjadi perintis, pengurus dan pemimpin masyarakat yang baik di masa hadapan.