Masalah terbesar
Masalah yang dihadapi umat Islam kini bukan sekadar keruntuhan akhlak, kelalaian melaksanakan ibadah khususiyyah, meringan-ringankan pelaksanaan upacara agama atau meniru-niru nilai-nilai asing. Namun masalah terbesar dan utama ialah samada manusia beriman atau tidak kepada Allah dan prinsip-prinsip keimanan yang lain. Permasalahan inilah yang menentukan sama ada Islam dapat terus hidup atau ditinggalkan usang tanpa dipelihara.
Islam dan umatnya diserang
Al-Islam adalah risalah daripada Allah SWT. Kini Islam bertembung dengan nilai barat dan timur yang bercirikan jahiliyyah. Keangkuhan fahaman mulhid (athiest) pula telah berdiri di pihak penentang syari’at Allah SWT dengan bersungguh-sungguh.
Jiwa dan pemikiran umat Islam sepanjang abad lalu menjadi mangsa buruan pihak musuh. Musuh telah memainkan peranan penting meruntuhkan nilai-nilai Islam dan mengetengahkan nilai-nilai batil dengan berbagai-bagai cara. Selama ini umat Islam hanya menjadi penonton menyaksikan keruntuhan itu. Umat Islam tidak mempedulikan segala fitnah yang dijalankan oleh musuh.
Masa umat yang terbuang
Umat Islam tidak berusaha untuk memahami cara musuh mengambil peluang dan menjalankan usaha memesongkan pemikiran mereka. Umat Islam tidak menyelidiki dan meneliti falsafah barat, falsafah timur dan cara hidup mereka secara kritikal. Masa umat Islam telah terbuang selama beberapa abad membicarakan perkara remeh temeh. Persoalan aqidah yang terancam dilupakan hingga lahir satu generasi yang mempunyai keimanan dan keyakinan yang begitu tipis terhadap Islam sebenar.
Anggapan yang salah
Sebahagian besar masa dan tenaga umat telah ditumpukan kepada hal ehwal politik dan yang berkaitan dengannya semata-mata. Hal ini terjadi kerana meluasnya anggapan bahawa keimanan umat telah kukuh dan teguh. Juga luasnya anggapan bahawa kepimpinan dan pemerintahan sudah berada di tangan orang Islam yang dikatakan bertanggungjawab untuk membangunkan ummah.
Hakikat sebenarnya
Hakikat sebenarnya adalah berbeza daripada anggapan-anggapan tadi. Umat yang dikatakan teguh dengan keimanan itu sedang mengalami keruntuhan moral dan rohani yang tenat. Umumnya, mereka yang dikatakan berpendidikan dan berpengaruh telah terpesong imannya dan dipengaruhi serta diresapi oleh nilai-nilai jahiliyyah, meskipun mereka mendakwa beriman dan berada dalam Islam. Mereka menjadi penentang aqidah Islam dengan membuat kenyataan bahawa nilai-nilai Barat mesti digunakan untuk membentuk masyarakat. Jika tidak berbuat demikian, kehidupan masa depan masyarakat dikatakan tidak akan terjamin.
Berasaskan semangat ini mereka memproses dan mengembangkan cara hidup jahiliyyah di hadapan umat Islam. Mereka menjerumuskan umat ke lembah mulhid, cintakan dunia serta takutkan mati. Ada di kalangan mereka yang melakukan proses ini secara agresif dan ada juga yang melakukannya secara beransur-ansur. Namun matlamat mereka tetap satu.
Dimanakah ulama’ dan pemimpin masyarakat?
Mungkin timbul soalan - selama ini, apakah usaha para ulama’ dan pemimpin masyarakat untuk menghadapi cabaran di depan mata mereka? Di kalangan mereka, umumnya terdapat dua golongan, iaitu:
1. Golongan yang menentang habis-habisan semua bentuk kemajuan baru dan anti dunia, tanpa mencari sebab mengapa pemimpin yang mengaku Islam itu berminat dan cenderung terhadap mulhid. Golongan ini tidak berhubung dengan pemimpin yang mengaku Islam itu dan tidak memperbaiki aqidah batilnya .
2. Golongan yang berganding bahu dan berkerjasama dengan pemimpin yang mengaku Islam demi mendapatkan keuntungan duniawi. Mereka tidak langsung memberi perhatian untuk membetulkan aqidah pemimpin itu. Golongan ini tidak mempunyai sebarang risalah yang hendak disampaikan kepada masyarakat. Mereka tiada ‘izzah (kebanggaan) yang hendak ditonjolkan. Mereka tidak mempunyai rasa tanggungjawab dan amanah untuk memperbaiki dan membentuk semula ummah Islamiah.
Apakah yang perlu dilakukan?
Berasaskan realiti di atas, adalah penting lagi mendesak sekarang ini untuk berusaha mengembalikan muslim kepada aqidah yang sahih.Kejayaan bagi usaha-usaha ini hanya akan dapat dicapai dengan penyelidikan mendalam, kebijaksanaan dan ketabahan. Adalah tidak wajar usaha-usaha itu dilakukan dengan tergesa-gesa, penuh dendam dan kemarahan.
Islam hari ini memerlukan pejuang-pejuang dan pekerja-pekerja. Pejuang-pejuang yang benar-benar beriman, yang sentiasa bersedia untuk berkorban dengan sepenuh tenaga, harta dan jiwa. Pejuang-pejuang Islam bersedia menggunakan segala kemampuan yang dimiliki untuk mencapai matlamat yang besar.
Oleh itu satu penyusunan yang sempurna, kuat dan kukuh diperlukan. Penyusunan yang berdaya dan berkemampuan untuk mengabdikan pemuda dan pemudi yang berpendidikan kepada Islam dalam erti kata yang luas. Penyusunan yang membebaskan mereka daripada belenggu rantai yang sekian lama telah mencengkam.
Sejarah akan berulang
Kini, tidak ada ibadah yang lebih utama melainkan usaha membebaskan masyarakat daripada kekeliruan dan perhambaan yang telah berakar umbi dalam jiwa. Segala ciri kekufuran dan jahiliyyah yang begitu lama ditanam dalam pemikiran dan jiwa harus dibersihkan agar yang haq dapat bertapak dengan mudah.
Untuk matlamat ini Islam memerlukan du’at (penda’wah-penda’wah) yang bertaqwa di segenap penjuru dunia Islam. Du’at yang tidak mungkin akan meninggalkan perjuangan mereka hingga ke akhir hayat.
Sejarah telah membuktikan bahawa para pejuang dan du’at yang seperti inilah sahaja yang dapat berkhidmat untuk Islam di sepanjang hayat mereka demi mengembalikan Islam ke tempat yang adil. Sejarah sentiasa berulang dan akan berulang lagi. Sejarah akan menyaksikan bahawa kesungguhan, kebijaksanaan, kegigihan dan ketekunan melaksanakan da’wah dimiliki oleh mereka yang faham dan menerima hakikat kebenaran serta kekuatan Islam.
Allah SWT menciptakan manusia yang berwibawa
Allah SWT adalah Pengatur, Pencipta dan Pemilik alam ini. Allah SWT mempunyai kerajaan yang besar dan bahagian-bahagian kerajaan-Nya yang tiada batasan. Dia telah mencipta manusia di satu bahagian alam yang disebut ‘bumi’. Makhluk manusia ciptaan-Nya dilengkapi dengan kemampuan berfikir. Diberikan-Nya ilham untuk membezakan antara yang baik dan yang batil. Diberikan-Nya berbagai-bagai kebebasan dalam mencapai kehendak dan kemahuan seizin-Nya. Diberikan-Nya kekuasaan untuk mengulangi urusan menurut kesukaannya seizin-Nya. Diberikan-Nya kedudukan sebagai khalifah di bumi.
Manusia tidak boleh lari daripada tugas yang Allah taklifkan
Sewaktu Allah SWT memberikan kedudukan yang penting kepada manusia di bumi, telah ditanzilkan-Nya ke dalam lubuk hati manusia pengertian-pengertian berikut:
1. Bahawa Aku (Allah) Rabbmu dan Rabb seluruh alam ini. Aku Penciptamu dan Pencipta alam ini. Aku Pengaturmu dan Pengatur alam ini. Di dalam kerajaan-Ku ini janganlah kamu lepas bebas dan bertindak sesuka hatimu. Janganlah kamu menjadi hamba kepada yang lain selain daripada Aku. Aku berikan kepadamu bermacam-macam kebebasan di dunia ini hanya untuk suatu waktu tertentu sahaja. Setelah waktu itu berakhir kamu akan kembali kepada-Ku dan Aku akan periksa setiap apa yang telah kamu lakukan. Aku akan berikan keputusan siapa berjaya dan siapa gagal. Ingatlah, sebaik-baik jalan yang kamu perlu lalui di dunia ialah jalan di mana kamu mengambil Aku sebagai Rabb-mu Yang Tunggal. Jalan di mana kamu hidup menurut pertunjuk-Ku. Jalan di mana kamu benar-benar sedar bahawa dunia adalah medan ujian dan matlamatmu yang hakiki ialah kemenangan di akhirat.
2. Bahawa jalan-jalan lain, selain daripada jalan-Ku, adalah sia-sia dan sesat. Apabila kamu mahu menempuh jalan-Ku ini, kelak kamu bukan sahaja akan menikmati kesenangan duniawi bahkan Aku akan berikan ganjaran di waktu kamu kembali kepada-Ku, iaitu suatu tempat bernama syurga. Di situ kamu akan menikmati kesenangan abadi dan kepuasan berpanjangan tanpa susah payah atau sukar. Sebaliknya jika kamu mahu menempuh jalan lain, selain jalan-Ku, maka kelak kamu bukan sahaja akan merasakan keluh kesah dan menderita dengan bala bencana serta kerosakan di bumi, seperti yang berlaku di hari ini, bahkan di waktu kamu telah menyeberang daripada alam dunia ke alam akhirat, kamu akan memasuki jurang neraka dan merasa azab siksa abadi. Di situ kamu akan menderita berpanjangan dan berduka nestapa tidak berpenghujung dan tidak berakhir.