ORGANISASI ISLAM:
      PIRAMID YANG KUKUH ATAU 
      KHEMAH YANG RAPUH

      Firman Allah SWT yang bermaksud;

      “Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berperang di  jalan    Allah  dalam barisan yang teratur  seumpama  bangunan  yang kukuh.” (Surah As-Shaf: 4)

      Ayat di atas menjelaskan sifat organisasi Islam yang bekerja untuk menegakkan Islam sebagai ad-din (cara hidup). Sifat  yang  dijelaskan  oleh Allah  ialah  "dalam  barisan  yang teratur   rapi  seumpama  bangunan  yang  kukuh". Mereka   yang menganggotai  organisasi  seperti ini dicintai  Allah. Oleh demikian anda perlu berfikir secara insaf adakah anda  termasuk  dalam golongan yang dicintai Allah atau sebaliknya.  Adakah anda menjadi anggota sebuah organisasi  yang tersusun rapi?

      Bangunan yang kukuh

      Mengapakah  Allah mencintai barisan yang tersusun  rapi  seumpama bangunan  yang  kukuh? Anda tentu memahami  bahawa  sebuah bangunan  yang  kukuh  sahaja  dapat  memenuhi  fungsinya  dengan sempurna.  Bangunan yang kukuh sahaja dapat menampung segala  isi di  dalamnya  tanpa mengalami retak atau runtuh.  Isi  di dalam bangunan sama ada manusia, perabot, peralatan dan  lain-lain kadangkala  berubah.  Tanpa kekukuhan yang  sewajarnya, sesebuah bangunan tidak akan dapat memikul beban yang berubah ini.  Selain itu, sesebuah bangunan juga terdedah kepada angin kencang, hujan  lebat  dan mungkin gempa bumi. Sekali  lagi,  semua  unsur cuaca  dan alam ini perlu dihadapi sesebuah bangunan  dengan kekukuhan  yang sewajarnya. Jika tidak, bangunan  tersebut  mungkin mengalami gegaran, retak atau runtuh.

      Bagaimana   pula  dengan  sebuah  organisasi   Islam   anda? Organisasi Islam  merupakan  tempat  untuk  anda   melaksanakan pelbagai aktiviti Islam. Ia merupakan tempat merancang, melaksana dan mengawasi  aktiviti-aktiviti dakwah,  tarbiyah  dan siasah. Oleh  demikian,  organisasi tersebut  perlu  mempunyai  struktur  yang  memungkinkan  semua aktiviti  yang  dihajati dapat dilaksanakan.  Ini  bermakna,  bukan sahaja  struktur  perlu  dirangka  dengan  sebaik-baiknya,  malah struktur  itu  perlu diisi dengan angota  yang  mampu menangani  peranan  yang ditentukan. Hanya dengan  struktur  yang sesuai dan anggota yang berkemampuan sahaja  sesebuah  organisasi dapat  memenuhi fungsinya. Jika tidak, organisasi  mungkin  wujud tetapi aktiviti tidak dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

      Setelah menyentuh soal organisasi, cuba lihat pula  anggota  yang  mengisi organisasi.  Untuk  lebih memahami  aspek  ini, anda perlu mengaitkan  individu  dengan aktiviti  yang  ingin  dilaksanakan  dalam  sesebuah   organisasi.  Aspek  utama  yang membezakan   aktiviti   Islam   dengan   aktiviti  lain  ialah  matlamat akhir  yang  ingin  dicapai melalui aktiviti berkenaan.  Dalam  aktiviti  atau  amal  Islam, matlamat   akhir  yang  ingin  dicapai  ialah  keredaan   Allah. Matlamat  ini hanya diketahui apabila anda bertemu dengan   Allah di  akhirat  nanti.  Oleh  demikian,  setiap  anggota  perlu meletakkan  matlamat  akhir  ini sebagai  dasar  penyertaannya  dalam organisasi  dan  pelaksanaan aktiviti. Matlamat    ini  perlu  dibina dan  disuburkan dalam hati anda secara berterusan.  Tanpa  matlamat   ini,  segala aktiviti  tidak  dapat  dilaksanakan dengan   sebaik-baiknya kerana   anda   tidak  mempunyai  motivasi  dalam  bentuk  kebendaan.  Malah, aktiviti  yang  ingin   dilaksanakan  tidak  menjanjikan  ganjaran  kewangan   atau kebendaan.

      Matlamat akhir

      Berdasarkan kepada matlamat akhir ini, anda mengharapkan setiap anggota  organisasi akan berperanan dan melaksanakan tanggungjawab  memperku-kuhkan organisasi. Memang ada   peranan   dan tangungjawab  yang  dikhususkan  untuk  anggota  tertentu.  Namun demikian,  banyak  lagi peranan dan  tanggungjawab  yang boleh dilaksanakan oleh  setiap anggota.  Umpamanya  menyebarkan kefahaman dan  kesedaran  Islam. Peranan ini mungkin dapat dilaksanakan dengan berbagai-bagai cara seperti   hubungan  individu  atau  menyertai   aktiviti  Islam  yang ada di sekeliling anda. Peranan  ini  sangat besar kesannya terhadap Islam. Setiap  anggota juga  boleh  meneruskan usaha menyebarkan kefahaman  tadi  dengan membentuk  individu yang menerima seruan  Islam,  sekiranya berkemampuan. Ini adalah contoh usaha yang sepatutnya   dicari dan  dilaksanakan  oleh  anggota  organisasi  yang  berkemampuan. Peranan   ini  tidak mungkin dapat  diberi  atau  disogok seperti  peranan  dalam pentadbiran pejabat. Sebaliknya  ia  perlu dicari dan memerlukan inisiatif serta kreativiti sendiri.

      Matlamat   di atas juga  perlu menjadi  dasar  bagi pelaksanaan aktiviti  organisasi  secara menyeluruh.  Apabila setiap anggota jelas mengenai matlamat akhirnya, barulah aktiviti  organisasi dapat  disempurnakan dengan  sepenuh  hati, bukan  secara  terpaksa.  Pelaksanaan secara sepenuh hati bermakna dilaksanakan dengan penuh minat, tumpuan dan rasa gembira. Inilah yang akan menentukan sama ada sesuatu  aktiviti itu dilaksanakan dengan cemerlang atau  ala  kadar sahaja.  Oleh itu, setiap angota  organisasi perlu menyedari kepentingan memiliki matlamat akhir yang  jelas dan berusaha memupuknya dalam hati mereka.

      Piramid atau khemah?

      Persoalannya  adakah anda telah  berpuas  hati  dengan organisasi  yang  anda  anggotai? Adakah struktur  yang  ada  merupakan  struktur  piramid yang kukuh dan  tahan  uji?  Atau struktur yang ada hanyalah struktur khemah yang sementara dan rapuh?  Mudah-mudahan  anda tidak mudah tertipu  dengan  struktur berbentuk  piramid  tetapi  hakikatnya  bukan  piramid.  Untuk membina sebuah piramid, anda  memerlukan  batu-batu pejal  yang besar dan logistik yang sangat canggih. Piramid  yang sebenarnya  telah  dibina  dengan usaha  yang  sangat  besar  dan perbelanjaan  yang sangat mahal. Piramid yang  sebenarnya  adalah kukuh dan   dapat   menghadapi   apa   sahaja   bentuk    cuaca di sekelilingnya.   Hujan  ribut  atau  puting  beliung  sekalipun tidak menjejaskan  piramid. Oleh itu, tidak hairanlah  jikalau  piramid dapat bertahan sehingga berabad-abad lamanya.

      Sebaliknya  hari ini anda lebih mudah  membina  khemah. Khemah merupakan binaan sementara yang terlalu lemah dan mudah runtuh. Namun  demikian,  khemah  adalah  sesuai  untuk   tujuan perkelahan atau penginapan sementara. Ia mudah dibina dan mudah dibuka.  Oleh  kerana strukturnya yang kecil dan  ringan,  khemah mungkin  tumbang  atau terbang apabila ditiup angin  kencang.  Ini bermakna khemah  tidak dapat bertahan untuk  satu  jangka  masa yang  lama. Itulah hakikat khemah yang rapuh  walaupun  bentuknya seperti piramid yang kukuh.

      Oleh   demikian,  cubalah nilai  diri sendiri,  sama  ada organisasi  anda merupakan sebuah piramid yang kukuh  ataupun khemah yang rapuh. Dan apakah sumbangan anda untuk memperkukuhkan organisasi tersebut? -