KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W.

        KHUTBAH INI DISAMPAIKAN PADA 9HB ZULHIJJAH TAHUN KESEPULUH HIJRAH.

        Wahai manusia!
        Dengarlah baik-baik apa yang hendak aku katakan ini. Aku tidak
        mengetahuai apakah aku akan bertemu lagi dengan kalian selepas tahun
        ini.Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah
        kepada orang-orang yang tidak hadir di sini pada hari ini.

        Wahai manusia!
        Sepertimana kamu mengangap bulan ini dan kota ini suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Islam itu amanah yang suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu. Ingatlah! kamu pasti menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan atas segala amalan kamu.

        Allah telah mengharamkan riba. Oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan, demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara yang besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara yang kecil.

        Wahai manusia!
        Sebagaimana kamu menpunyai hak keatas isteri-isterimu, maka mereka juga menpunyai hak ke atas dirimu, mereka berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanlah wanita-wanita
        kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia dan hak kamu atas mereka ialah, mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai  ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

        Wahai manusia!
        Dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah. Dirikan
        sembahyang lima waktu sehari semalam. Berpuasalah dibulan Ramadan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaanmu. Kerjakanlah ibadat haji
        sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap orang Islam adalah
        saudara kepada setiap orang Islam yang lain. Kamu semua adalah sama,
        tidak seorang pun yang mulia  dari yang lainnya  kecuali dalam takwa dan beramal soleh. Ingatlah! Kamu akan mengadap Allah satu hari nanti untuk dipertanggunjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah! Agar jangan sesekali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

        Wahai manusia!
        Tidak ada lagi nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia , nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya  kamu berpegang teguh  dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan sunnahku. Hendaklah orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain. Semoga orang yang terakhir ini lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku.

        Saksikanlah ya Allah, bahawa  sanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.