Kekufuran adalah kejahilan.
Kekufuran adalah kejahilan bahkan kekufuran adalah kejahilan yang hakiki.
Kejahilan terbesar dan terhina ialah kejahilan manusia yang tidak mengenali
Rab. Manusia menyaksikan penciptaan alam yang besar dan berkenalan dengannya
siang dan malam, tetapi dia tidak mengenali Penciptanya dan Zat yang memerintahnya
hingga bergerak terus menerus.
Wahai manusia, tanyalah dirimu, “Siapakah yang telah menciptakan batu-bata, hidrogen, oksigen, udara dan sebagainya yang tidak mempunyai nyawa dan akal?”. “Siapakah yang mengeluarkan dari alam ini makhluk besar dan mustahak seperti manusia?”. “Tidakkah kamu kagum menyaksikan beraneka ragam benda di setiap pelusuk alam ini?”.
Alam ini berhajat dan memerlukan Zat Yang Maha Pencipta dan Memiliki kemahiran yang tiada tolak bandingnya. Meskipun demikian, akal manusia masih jahil dan tidak terbimbing untuk mengenali Zat Yang Maha Mulia, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui, Maha Pencipta dan Maha Pentadbir.
Adakah mungkin terbuka pintu ilmu yang benar pada manusia seperti ini? Manusia yang telah sesat pangkal pengetahuannya? Manusia seperti ini tidak akan mendapat petunjuk jalan yang lurus dan ilmu yang benar meskipun penelitian, pembahasan dan penyelidikan telah sampai ke pangkal pemikiran lantaran dia mengalami kegelapan dan kejahilan di permulaan lagi. Seterusnya, dia akan terus dalam kegelapan dan kejahilan hingga akhir hayatnya.
Kekufuran adalah kezaliman.
Kekufuran adalah kezaliman bahkan, kekufuran adalah kezaliman yang paling besar dan jahat. Ini selaras dengan makna zalim iaitu meletakkan sesuatu bukan pada tempat yang layak dan menggunakan sesuatu secara paksa dan tidak wajar mengikut fitrahnya.
Manusia telah pun maklum bahawa sesuatu yang terdapat di langit dan di bumi terikat kepada perintah Allah S.W.T. dan difitrahkan dengan fitrah Islam (patuh). Manusia sendiri dengan tubuh badan dan segala anggotanya tidak dilahirkan melainkan di atas fitrah ini. Allah S.W.T. telah memberikan hak kepada manusia agar menggunakan anggota-anggota tubuh badannya mengikut kehendak fitrah. Manusia tidak boleh menggunakan anggota-anggotanya melainkan sekadar yang diredhai Penciptanya.
Tetapi, manusia yang kafir kepada Allah S.W.T. telah menggunakan anggota-anggota tubuhnya dengan cara yang tidak sesuai dengan fitrah. Dia memenuhi kehendak hatinya dengan kegelapan, membesarkan yang lain daripada Allah S.W.T. dan cinta atau gemar kepada yang lain daripada Allah S.W.T.Fitrahnya menuntut supaya hatinya dipenuhi dengan cahaya membesarkan Allah S.W.T., cinta atau gemar kepada-Nya dan bergantung kepada-Nya yang Maha Esa. Fitrahnya menuntut supaya seluruh anggota tubuhnya dan segala miliknya digunakan mengikut undang-undang Allah S.W.T..
Justeru itu, dengan nama Allah S.W.T., jawablah, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang hidupnya menzalimi segala yang ada di dunia, termasuk dirinya sendiri?
Jahiliyyah bukan setakat zalim
Kekufuran bukan setakat zalim bahkan kekufuran juga adalah pemesongan, penentangan, pengingkaran dan kekejian.
Adakah manusia yang menjadi pemilik bagi sesuatu yang paling hampir dengannya? Siapakah yang menjadikan akal dan otaknya? Adakah dirinya sendiri atau Allah S.W.T.? Siapakah yang menciptakan hati, lidah, dua mata, telinga, dua kaki, dua tangan dan seluruh anggota tubuhnya? Adakah dirinya sendiri atau Allah S.W.T? Siapakah yang memperelokkan ciptaan-ciptaan tersebut hingga boleh dipergunakan dan berfaedah? Adakah manusia sendiri atau Allah S.W.T?
Tidak dapat tidak jawapan bagi pertanyaan-pertanyaan tersebut adalah seluruh ciptaan itu milik Allah S.W.T. Dia yang telah menciptakan dan memperelokkan. Dialah Pemilik. Dialah yang telah mencampakkan nikmat-nikmatNya kepada manusia. Inilah kebenaran yang tidak dapat disangsikan lagi. Justeru itu, siapakah yang lebih zalim, lebih derhaka dan lebih menentang daripada orang yang menggunakan akalnya berfikir untuk melawan Allah S.W.T.? Hati dan fikirannya dipenuhi dengan perkara-perkara yang mencetuskan kemurkaan Allah S.W.T.? Serta memaksa dua mata, dua kaki dan dua tangan untuk beramal dengan amalan-amalan yang mencanggahi hukum-hukum Allah S.W.T. dan perintahNya?.
Seorang hamba biasa akan dihukum apabila dia hidup dengan rezeki tuannya tetapi tidak menjaga hak-hak tuannya hingga menjadi hamba yang ingkar.
Seorang pegawai pentadbir yang menggunakan kuasanya berlawanan dengan maslahat kerajaan akan dituduh sebagai penderhaka dan terkeluar daripada kehendak pemerintah. Seseorang itu akan dikatakan ingkar jika dia melengah-lengahkan hak tuannya demi mengejar maslahat diri.
Bukankah semuanya dari Allah S.W.T.?
Kekufuran juga membawa kepada kederhakaan dan kelalaian terhadap hak-hak sesama manusia. Dari manakah datang rezeki manusia sehingga dia mesti berlaku baik melalui rezekinya terhadap manusia lain? Bukankah Allah S.W.T. yang memberi rezeki, kekuatan, kekuasan dan pemerintahan? Bukankah Allah S.W.T. yang telah menetapkan semua itu untuknya? Manusia semestinya memberi nikmat dan berbuat baik kepada manusia lain sepertimana Allah S.W.T. berbuat baik kepadanya. Misalnya menunaikan hak terhadap ibu bapa. Sesungguhnya hak yang paling besar bagi manusia di dunia ini ialah hak terhadap ibu bapa.
Siapakah yang telah menanamkan rasa kasih mesra dalam hati ibu bapa terhadap anak-anaknya? Siapakah yang menjadikan seseorang ibu itu menyayangi anak yang dikandung dan bersusah payah untuknya? Siapakah yang telah menanamkan dalam hati ayah perasaan sukarela dan tenang memberi nafkah untuk anak-anak daripada titik peluhnya sendiri? Kemudian dia menghabiskan banyak waktu dan harta serta bersikap lemah lembut untuk mendidik dan mengajar anak-anak?
Kekafiran yang terkeji.
Demi Allah! Adakah lagi kekafiran yang lebih keji daripada kekafiran orang yang tidak beriman kepada Allah S.W.T., enggan mengaku IlahiyyahNya dan RabbaniyahNya, membangkang titah perintahNya? Kederhakaan orang kafir adalah lebih dahsyat daripada segala kederhakaan. Pengkhianatan orang kafir adalah lebih hebat daripada segala pengkhianatan. Keingkaran orang kafir adalah lebih hebat dariPada segala keingkaran.
Allah S.W.T. tidak terjejas.
Janganlah disangka manusia boleh mendatangkan mudharat kepada Allah S.W.T. lantaran kekafiran terhadapNya. Allah S.W.T. mempunyai kerajaan yang besar. Tidak diketahui jauh dan dekatnya meskipun manusia mencuba bersungguh-sungguh dan terus menerus untuk menerokainya. Bumi sujud kepada Allah S.W.T.. Demikian juga bintang-bintang dan matahari.Perbendaharaan bumi dan langit tidak boleh menyaingi Allah S.W.T. atau menentang-Nya. Allah Yang Maha Pemurah tempat bergantung segala sesuatu. Segala-galanya berhajat kepada Allah Yang Maha Mulia, sedangkan Dia tidak berhajat kepada sesiapa.
Bagaimana pula dengan manusia? Dia makhluk yang lemah dan hina. Dia tidak dapat mendatangkan sebarang mudharat kepada Allah S.W.T. meski pun dia mengkufuriNya. Sesungguhnya jika dia beriman, maka itu untuk kepentingannya. Jika dia kafir, maka kesannya akan menimpa dirinya.
Natijah kufur.
Antara natijah kufur dan keingkaran kepada Allah S.W.T. ialah penyesalan dan kegagalan. Dengan kekufuran selama-lamanya manusia tidak akan mendapat petunjuk kepada jalan yang lurus. Begitu juga,dia tidak akan mendapat ilmu yang benar. Apabila dia tidak mengenal Allah, maka tidak mungkin dia dapat mengenal yang lain dengan benar. Seterusnya, akalnya akan melalui jalan-jalan yang susah dan berliku dalam segenap bidang kehidupan. Sesungguhnya akal yang tidak menuju ke arah mengenali Penciptanya tidak akan berupaya mengenali yang lain dengan betul dan tepat. Dia akan menjadi orang yang tidak tentu hala tuju. Dia akan menempuh kegagalan demi kegagalan dalam pekerjaannya. Akan binasalah akhlaknya, kemajuannya, kehidupannya, pemerintahannya dan politiknya. Dia akan manusia perosak di bumi. Dia menumpahkan darah dan mempermain-mainkan hak manusia lain. Dia mendorong dirinya kepada kehidupan dengan fikiran jahat dan perbuatan mungkar.
Di akhirat pula, di depan wajahnya akan terpampang segala penyelewengan besar dan kecil. Semua amalannya akan disaksikannya. Di hadapan mahkamah Allah S.W.T. yang adil, kesnya akan dipersaksikan oleh akal, hati, dua mata, telinga , dua kaki, dua tangan dan seluruh anggota tubuhnya.
Di dalam mahkamah yang adil itu tiada tawar menawar, tiada pujuk rayu dan tiada syafaat. Bumi, yang di atasnya dia berjalan dan tinggal, murka kepadanya kerana memaksiati Allah S.W.T.. Juga, akan murka kepadanya segala harta yang diperolehi melalui jalan haram, harta yang dibelanjakan kepada jalan haram, benda-benda yang digunakan dengan cara jahat seperti harta yang mendatangkan persengketaan dan kezaliman dan alat-alat atau kekuatan yang digunakan dengan cara paksa untuk kezaliman dan permusuhan. Semua itu akan murka kepadanya. Allah S.W.T. telah mencatatkan baginya segala kegiatan yang melampaui batas. Akan menimpa ke atasnya azab yang hina lagi keji sebagai balasan di atas kezaliman, kemaksiatan dan kemungkarannya. Hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah S.W.T.? Sesungguhnya hukum Allah S.W.T. adalah terbaik.