Dasar kita
Tarbiyyah Islamiyyah yang sahih akan menentukan samada kita akan dapat atau tidak kenikmatan yang telah Allah SWT sempurnakan. Kita perlu mentarbiyyah apa yang ada dalam jiwa kita untuk layak memperolehi kenikmatan yang hakiki. Hakikat ini telah dibuktikan 14 abad yang lalu. Ia akan tetap hingga hari Qiamah. Ia tidak akan berubah.
Dasar yang kita hayati di mana-mana sahaja ialah bahawa kita tidak akan mengabdikan diri kepada ilah-iLah yang lain selain daripada Allah SWT. Dasar atau hakikat ini telah kabur dalam masyarakat kita. Dasar ini perlulah diketengahkan untuk melahirkan pengabdian yang sebenar.
Bersih dan sabar
Dengan jiwa yang bersih barulah ni’mat Allah SWT dapat dirasai. Barulah dapat disedari bahawa nikmat Allah SWT itu tidak terkira. Ini kerana ni’mat Allah SWT yang sebenar diberikan kepada hamba-hambaNya yang patuh kepada-Nya semata-mata di setiap masa dan tempat. Sesungguhnya Allah SWT adalah sebesar-besar punca kenikmatan.
Kita juga perlukan manusia yang berjiwa bersih sebagai tenaga penggerak di dalam satu jamaah yang padu. Tenaga-tenaga penggerak yang berjiwa bersih akan dapat melaksanakan program da’wah dan tarbiyyah (pendidikan) ‘aqidah yang sebenarnya. Juga, bersama-sama dengan kekuatan persaudaraan, mereka berusaha menegakkan Islam di tengah-tengah masyarakat yang leka dengan kemungkaran. Tertegaknya Islam merupakan obor kepada seluruh ummat. Keadilan akan tercapai. Kezaliman, kemunkaran dan kedurhakaan kepada Allah SWT akan dibenteras.
Kita juga perlu kepada kesabaran. Kita, sebagai tenaga penggerak Islam, perlulah bersikap sabar. Kita perlu bersabar dalam usaha untuk mewujudkan masyarakat Islam. Sikap sabar yang sebenar hanya akan lahir melalui tarbiyyah imaniyyah yang jelas.
Melihat masyarakat dengan kasihan belas
Untuk mengembalikan ni’mat Allah SWT, kita perlu ada sikap kasihan belas. Kita kasihan melihat fitrah manusia yang melakukan munkar, mendewa-dewakan makhluk dan meninggalkan apa yang Allah SWT perintahkan. Justeru itu kita perlu bertindak merubah dan menolong mereka agar meninggalkan kemungkaran. Punca kemungkaran perlu dihapuskan. Perlu kita jelaskan kepada mereka tentang pengertian atau konsep ‘makhluk’. Bahawa makhluk sama sekali tidak boleh didewa-dewakan.
Mengadakan persediaan
Penentangan daripada pendokong-pendokong kemungkaran kita hadapi dengan penuh persediaan. Antara persediaan yang perlu ialah memahami realiti musuh dengan sebenar-benarnya. Sekaligus kita membina kekuatan iman, ukhuwwah dan persaudaraan.
Persediaan iman yang kuat tidaklah boleh didapati semata-mata melalui ceramah yang bersemangat. Ia juga tidak boleh didapati melalui ilmu yang banyak tanpa amal. Iman yang kuat akan lahir melalui satu program tarbiyyah Islamiyyah yang bersih, lengkap dan teratur. Juga melalui tarbiyyah Islamiyyah yang merujuk kepada sumber-sumber al-Quran, as-Sunnah dan sejarah para sahabat. Sumber-sumber yang bersih tanpa campur aduk.
Setelah kita dilatih dengan program tarbiyyah Islamiyyah yang betul dan dengan bahan-bahan yang jelas. maka barulah boleh kita dikatakan bersedia untuk mengatur langkah penyeruan Islam dan menghadapi rintangan-rintangan.
Tidak ada kerehatan dalam memperkata dan menegakkan Islam. Kita mesti terus mengenengahkan perintah Allah SWT sambil meninggalkan larangan-Nya.
Renungan
Renungilah Firman-Firman Allah SWT yang berikut sebagai panduan:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan
sesuatu kaum itu sehinggalah mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka.”
- Surah ar-Ra’d: ayat 11.
“Ya Tuhan kami, limpahlah kesabaran kepada
kami danmatikanlah kami dalam keadaan kami menyerah diri (kepada-Mu).”
- Surah al-’Araf: ayat 126.
“Ya Tuhan kami, limpahlah kesabaran kepada
kami dan kukuhlah pendirian kami serta tolonglah kami terhadap orang-orang
kafir.”
- Surah al-Baqarah: ayat 250.
“Bahawa sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.” - Surah Yusuf: ayat 87.
“Dan tidak ada yang berputus asa dari rahmat
Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat.” -
Surah al-Hijr: ayat 56