KATA-KATA ALUAN 
        Pengerusi Lembaga Penasihat 
        Sekolah Rendah Ibn Khaldun (SRIK)  
         
                Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya prospektus SRIK ini dapat diterbitkan dalam Halaman Web ini selaras dengan perkembangan teknologi semasa di mana sesuatu maklumat itu dapat disalurkan dengan cara
        yang lebih pantas dan berkesan.
         
                Dalam Usaha ke arah memenuhi pencapaian wawasan negara, bidang pendidikan merupakan salah satu aset utama. Generasi pewaris masa depan perlu diberi pendidikan yang sempurna dan menyeluruh supaya segala perancangan yang sedang dilaksanakan dan yang akan dilaksanakan kelak akan dapat berjalan dengan lancar tanpa halangan.

                Dalam hal ini SRIK menyediakan peluang pemelajaran yang lengkap
        mendidik anak bangsa bagi mengisi hasrat dan wawasan negara. Kurikulum SRIK digubal selari dengan sistem pendidikan negara dan berlandaskan sistem pendidikan yang universal yang dapat melahirkan individu yang sempurna dari
        sudut akal, rohani dan jasmani.

                Sebagai sebuah institusi persendirian, SRIK sama juga seperti institusi persendirian yang lain yang sangat bergantung kepada sokongan masyarakat khususnya masyarakat Islam. Masyarakat bukan Islam telah berjaya membina sistem pendidikan mereka kerana mendapat sokongan padu dikalangan mereka dan daripada kalangan orang Islam sendiri yang sangat yakin dengan prestasi pendidikan mereka. Oleh itu untuk mencipta kejayaan maka SRIK perlu mendapat sokongan daripada semua pihak supaya bukan sahaja untuk mencapai cita-cita individu bahkan syiar Islam juga ditegakkan. Akhir kata saya doakan semoga
        SRIK terus maju dalam semua bidang baik dibidang pengajaran, bidang kemudahan fizikal, bidang akademik dan bidang ko-kurikulum. Semoga Allah SWT menerima amalan kita semua.

        Dr. Ismail bin Jusoh
        Pusat Pengajian  Ilmu Pendidikan
        Universiti Sains Malaysia