Mematuhi syara’ dan jelas matlamat
Adalah menjadi arahan Allah SWT kepada seluruh Muslimin untuk mengikuti syara’. Hanya mereka yang mematuhi syara’ yang akan beruntung. Keuntungan tersebut bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat. Hal ini akan berlaku dalam semua suasana dan ketika sekiranya syara’ dipatuhi.
Untuk mengikuti syara’ perlulah kepada matlamat yang terang. Matlamat yang terang perlu berhubung dengan keimanan kepada Allah SWT. Hanya matlamat yang berhubung dengan Allah SWT yang akan membawa kita kepada kejayaan yang sejati.
Seluruh tenaga, masa, fikiran dan wang ringgit yang kita gunakan akan menjadi sia-sia sekiranya kejelasan matlamat tidak tercapai. Matlamat hidup yang tidak jelas berlaku secara berleluasa dalam reliti masyarakat kita hari ini. Membiarkan hal ini berterusan bererti kita mendedahkan masyarakat kepada kerosakan demi kerosakan.
Ber’ubudiyyah kepada Allah
Kita perlu bertindak dari sekarang untuk melahirkan semula kesejahteraan yang hakiki. Jika diteliti, kerja-kerja ini amat berat.Ia memerlukan keikhlasan dan kesungguhan yang berterusan. Kesungguhan seperti ini hanya akan ada pada mereka yang jelas dan terang jalan dan matlamat yang hendak dituju.
Justeru itu, kita perlu meneliti dan mengikuti semula Islam sepertimana yang Allah SWT kehendaki. Hanya dengan jalan ini kita akan menemui matlamat yang jelas itu. Sebenarnya penjelasan telah pun Allah SWT berikan kepada manusia. Firman Allah SWT:
“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia itu kecuali untuk beribadah
kepada-Ku”
-Surah az-Zariyat: ayat 56.
Berhubung dengan ayat ini, Sayyid Qutb menjelaskan dalam kitab Fi Dzilal al-Quran, “ Disana ada matlamat yang tertentu tentang penciptaan jin dan manusia. Ini jelas dapat dilihat melalui tugas yang perlu dilaksanakan oleh setiap jin dan manusia. Sebenarnya, jin dan manusia diciptakan untuk ber’ubudiyyah semata-mata kepada Allah SWT. Sesiapa yang cuai, maka ia sendiri telah memesongkan hakikat sebenar ia dijadikan. Kalau tidak bermatlamatkan ‘ubudiyyah, maka tidak berfungsilah jin dan manusia itu. Tanpa matlamat ini hidup akan kosong, walaupun seluruh tenaga, masa, wang ringgit dan fikiran dicurahkan”.
‘Ubudiyyah yang berterusan
Ubudiyyah hendaklah berlaku di mana-mana sahaja dan dalam apa suasana sekalipun. Inilah apa yang sebenarnya dikehendaki oleh Allah SWT. Tetapi majoriti masyarakat masih tidak mengetahuinya.
Untuk melahirkan ubudiyyah pada setiap ketika bukanlah perkara yang mudah. Tetapi ia bukan mustahil. Keikhlasan yang dimiliki hendaklah dibajai dengan kesungguhan dan kesungguhan itu digunakan pula untuk beramal dengan Islam. Bersungguh-sungguh untuk beramal dengan semua yang Allah SWT perintahkan dan meninggalkan semua yang dilarang.
Penyertaan Allah
Perlulah kita yakin bahawa tiada suatu benda yang dapat wujud tanpa kekuasaan Allah SWT. Tiada sebarang perlakuan yang kita lakukan terkeluar daripada pengetahuan Allah SWT. Tiada secebis rahsia pun yang Allah SWT tidak ketahui. Kita perlu sedar bahawa setiap perjuangan untuk mencapai dan menegakkan Islam, akan disertai Allah SWT.
Setiap apa yang disertai atau diredhai Allah SWT sudah tentu mempunyai kekuatan yang tidak dapat diruntuhkan. Hal ini jelas terbukti dalam perjuangan generasi awal dahulu (Generasi al-Quran). Lihatlah apa yang telah berlaku pada Sumayyah. Dalam usaha mempertahankan aqidahnya, wanita itu tidak tunduk kepada kehendak jahiliyyah. Ini kerana beliau memahami dan jelas apakah matlamat hidupnya itu. Beliau sanggup menghadapi musuh-musuh Allah SWT dan mempertahan imannya walaupun disula.
Keteguhan yang berterusan
Berpegang teguh kepada Islam apabila menghadapi kufur merupakan salah satu syarat untuk berjaya dalam menegakkan Islam. Keteguhan dalam berterusan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi. Ia perlu melalui pendidikan (tarbiyah) hari demi hari. Pendidikan bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah, sirah para sahabat dan perjuangan ulamak-ulamak muktabar sangat-sangat diperlukan pada hari ini.
Membebaskan diri daripada taghut
Kita perlu sama-sama menjadi hamba Allah SWT semata-mata. Dengan sedemikian, InsyaAllah akan berhasillah hasrat untuk menolak sebarang bentuk cara hidup taghut. Sebenarnya Allah SWT memerintahkan supaya kita keluar daripada kegelapan kepada nur (cahaya). Taghut pula mengkehendaki kita keluar daripada Nur Ilahi kepada kegelapan.
Mereka yang tidak mempunyai matlamat jelas akan terperangkap dalam perencanaan-perencanaan taghut. Dalam keadaan sebegini, Islam yang hakiki tidak akan tersebar kepada masyarakat. Masyarakat akan terus merana tanpa sedar. Akibat yang buruk pula menanti di akhirat, na’uzubillah.
Oleh itu dalam suasana sekarang, kita perlu jelaskan kepada bahawa kita adalah hamba-hamba Allah SWT. Kita tidak boleh meletakkan penghambaan manusia kepada sesama manusia. Kita juga tidak boleh mengambil hukum dan peraturan hidup lain daripada apa yang Allah SWT tetapkan. Penjelasan mengenai hal ini perlulah lahir dalam bentuk praktikal. Dengan itu, kita perlu menghayati Islam dalam hidup kita seharian.
Melalui jama’ah
Adalah menjadi kehendak Allah SWT agar kita menghayati Islam itu dalam bentuk jamaah. Penghayatan Islam dalam bentuk jamaah adalah lebih berkesan untuk merubah dan menyusun semula masyarakat kita. Masyarakat yang dicita-citakan ialah yang hanya menerima keputusan daripada Allah SWT kerana Allah SWT tidak menyuruh kita menyembah selain daripadaNya. Itulah cara hidup yang lurus yang tidak diketahui oleh majoriti manusia kini.
Semoga kita dapat menghirup udara Islam dan mati kita pun dalam suasana Islam. Begitu juga anak cucu dan generasi kita yang akan datang, Insya Allah.