ISLAM SEBAGAI PENYELESAIAN

    PELBAGAI aliran pemikiran, falsafah, peraturan, sistem politik, ekonomi dan sosial ciptaan manusia ditawarkan untuk menyelesaikan masalah hidup yang dihadapi manusia sejagat. Malangnya, semuanya tewas dan gagal apabila dilaksanakan. Hingga ke hari ini tidak ada satu aliran pun yang dapat memperlihatkan kemampuannya untuk menyesuaikan dengan realiti kehidupan.

    KEGAGALAN ALIRAN MARXISME:

    Bibit-bibit kejatuhan Russia sebagai lambang kuasa yang dibangunkan di atas ideologi komunisme (aliran Marxist) telah bermula sejak 40 tahun yang lalu. Pada bulan September 1961, harian ‘Pravda’ yang menjadi lidah rasmi Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Russia telah menyebarkan program baru parti itu. Rancangan itu ialah fikiran yang memansuhkan jalan atau cara revolusioner seperti yang ditegaskan oleh buku ‘Materialisme Dialektika’: “Berikutnya peralihan daripada kapitalisme kepada sosialisme dan memerdekakan kelas buruh (pekerja) daripada penindas kapitalis. Ini boleh direalisasikan bukan dengan evolusi, bukan dengan memperbaikinya, akan tetapi dengan perubahan bentuk dan cara sistem kapitalisme yakni dengan revolusi.”

    Harian tersebut juga menegaskan usaha-usaha merealisasikan masyarakat komunisme seperti yang dirancangkan itu meliputi tempoh 20 tahun akan datang. Di samping itu ia menekankan kegagalan sistem komunis selama 40 tahun yang lalu dalam membentuk asas ideologi dan kehidupan duniawi yang lengkap bagi masyarakat komunisme.

    Ini menunjukkan komunisme sebagai satu ideologi telah hilang kekuatannya untuk melaksanakan apa yang dinamakan ‘kepastian sejarah peralihan daripada kapitalisme kepada sosialisme’. Kegagalan itu berlaku kerana teori komunisme tidak ditegakkan di atas usul dan kaedah am yang lengkap untuk membolehkan ideologi itu berkembang.

    Prinsip penghapusan hak milik individu telah ditukar kepada satu penyelesaian yang lebih sederhana iaitu menguasai segenap industri, perniagaan luar negara, bank-bank dan segala perkhidmatan awam. Antara bukti kegagalan pelaksanaan prinsip persamaan di dalam masyarakat komunisme diungkapkan dalam buku tulisan Krien Brinton yang bertajuk ‘Revolusi Komunisme: Unsur, Penyelesaian dan Hasilnya’: “Sebagaimana yang  diakui oleh para pendokong komunisme sendiri bahawa Russia kini hidup di dalam satu masyarakat yang berbeza-beza dalam pembahagian barang-barang keperluan dan perolehan individu dengan perbezaan yang besar. Seorang ahli politik berkedudukan tinggi, pengarah perusahaan, penulis atau penari ballet hidup bergelumang dengan kemewahan sedangkan rakyat biasa tidak sedemikian.”

    Keadaan itu menjadikan masyarakat Russia satu masyarakat yang lebih tidak memiliki persamaan dalam bidang ekonomi jika dibandingkan dengan sebarang masyarakat kapitalis.
     Fakta itu jelas membuktikan komunisme pada zahirnya memperjuangkan prinsip persamaan dan keadilan secara teori tetapi gagal apabila dilaksanakan.

    KEGAGALAN TAMADUN BARAT:

    Sebahagian besar generasi muda tertipu oleh fatamorgana peradaban Barat. Mereka menyangka kebersihan lahiriah kaum itu merupakan bukti kebersihan rohani dan hati mereka. Kemajuan pesat di dalam bidang sains dan kebendaan tidak mencukupi untuk dijadikan contoh teladan di dalam segala perkara. Ukuran kemajuan dan tamadun sesuatu bangsa sepatutnya ditimbang dengan nilai akhlak dan kemanusiaan yang direalisasikan dalam masyarakat.

    Tamadun Barat jika dilihat dari necara ini sebenarnya sudah muflis. Segala slogan yang dicanangkan oleh Barat seperti prinsip kebebasan, perdamaian dan persamaan hanyalah omongan kosong belaka. Seorang ahli falsafah Inggeris, Joede, menulis di dalam bukunya: “Sesungguhnya tamadun moden itu tidak ada perseimbangan antara kekuatan dan akhlak... kerana akhlak sangat ketinggalan jauh daripada ilmu. Semenjak kebangkitannya ilmu terus meningkat maju sedangkan akhlak berada dalam kemunduran sehingga jarak antara keduanya sangat jauh.”

    SYARAT ISLAM SEBAGAI PENYELESAIAN:

    Setiap sistem mempunyai falsafah, matlamat, jalan, gagasan dan caranya yang tersendiri mengenai kehidupan. Setiap sistem juga mempunyai masalah dan cara penyelesaiannya apabila dilaksanakan. Oleh itu adalah tidak adil dan tidak rasional jika sistem tertentu diminta menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh sistem lain. Logiknya jika kita ingin minta cara penyelesaian sesuatu sistem terhadap masalah kehidupan maka sistem itu perlu diberi peluang terlebih dahulu dilaksanakan dalam realiti kehidupan. Setelah itu barulah dapat dilihat sama ada masalah itu masih ada atau sudah selesai, berubah bentuk atau unsurnya. Pada masa itu barulah sistem berkenaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap permasalahan yang timbul.

    Islam adalah sistem hidup yang lengkap, bersifat sepadu, saling berkait dan menguatkan antara satu aspek dengan aspek lain. Sistem ini berbeza daripada sistem lainnya dari segi wataknya, gagasannya tentang kehidupan dan cara pelaksanaannya. Perbezaan ini adalah perbezaan yang asasi dan menyeluruh. Oleh itu Islam tidak bertanggungjawab terhadap masalah yang timbul dalam masyarakat hari ini kerana masalah itu lahir akibat Islam dipisahkan daripada realiti kehidupan.

    Sebenarnya untuk mengambil Islam sebagai penyelesaian masalah, terlebih dahulu Islam perlu dijadikan pengatur selurun kehidupan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia ini. Setelah itu apabila timbul persoalan atau permasalahan barulah wajar untuk meminta pandangan Islam mengenai persoalan itu kerana masalah itu timbul dalam sistem Islam, bukan ditimbulkan oleh sistem bukan Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

    “Wahai orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Al-Baqarah: 208).

    Islam mendidik manusia dengan sistem tertentu, memerintah dengan hukum tertentu, menyelesai masalah mereka atas dasar tertentu serta mewujudkan sistem kemasyarakatan, ekonomi dan politik yang tertentu. Jadi perkara utamanya ialah melaksanakan Islam sebagai sistem yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan.

    Pengertian Tarbiyah.

    Tarbiyah berasal daripada perkataan Arab yang membawa erti penjagaan, pengasuhan  dan  pendidikan. Tarbiyah  Islamiyah pula ialah penjagaan, pengasuhan dan pendidikan berasaskan sumber  al-Quran  al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW. Sumber-sumber ini adalah sumber-sumber rabbani.  Dengan  sumber inilah generasi sahabat dididik oleh Rasulullah SAW sehingga berjaya melahirkan generasi rabbani yang  mendapat  jolokan dan pujian daripada Allah seperti yang disebutkan di dalam al-Quran al-Karim yang bermaksud:

    “Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh berbuat kebaikan, melarang berbuat  kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.”
    (Ali ‘Imran: 110)

    Peranan Tarbiyah Islamiyah.

    Tarbiyah  memainkan  peranan   penting  dan  berkesan dalam kebangkitan,  pembangunan dan kemajuan sesuatu  masyarakat. Maju atau mundur sesuatu masyarakat bergantung kepada maju atau mundur tarbiyah masyarakat tersebut. Oleh itu tarbiyah perlu  diberi keutamaan  dalam  perancangan  pembangunan  sesuatu masyarakat. Sejarah Rasulullah SAW sendiri menjelaskan bahawa tarbiyah menjadi faktor utama  untuk  membangunkan  manusia  yang  mampu  menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

    Titik Tolak Tarbiyah Islamiyah.

    Di dalam ‘Tarbiyah ar-Ruhiyah’, Said Hawa menjelaskan bahawa asas dan titik tolak didikan  Islam adalah iman.

    Dr Abdul Karim Zaidan pula di dalam ‘Usul ad-Dakwah’ menghuraikan dengan  panjang lebar mengenai peraturan asas pembentukan masyarakat  Islam. Katanya, asas pembentukan masyarakat dalam Islam ialah aqidah Islam yakni tauhid  Rububiyatillah  dan  tauhid Uluhiyatillah. "Setiap manusia dituntut meyakini aqidah ini supaya ia  mengetahui hakikat  diri dan letak duduknya manusia itu dalam  hidup  supaya faham mengapa manusia itu  dijadikan,  memahami  hubungan  dan pimpinan  akal   fikiran  manusia,   tindak   lakunya  dan segala aktivitinya dihubungkan dengan Allah swt,” tulis beliau.

    Sehubungan itu, Muhammad Shadid  dalam  ‘Manhaj al-Quran fi-tarbiyah’ telah menyingkap  kembali  sejarah  dengan menjelaskan bahawa Rasulullah  SAW  adalah utusan  Allah SWT. Baginda adalah contoh utama  dan  qudwah hasanah serta pelaksana manhaj al-Quran. Baginda adalah pendakwah yang  amat  faham tentang dakwahnya dan murabbi  (pendidik)  yang dianugerahkan  segala sifat sebagai murabbi. Baginda  mengajak  sahabatnya   dan   orang  ramai  beriman   kepada Allah, menghubungkan mereka dengan al-Quran dan memberi kefahaman bahawa al-Quran adalah arahan daripada Allah SWT untuk dilaksanakan. Arahan itu hanya akan diterima oleh hati yang beriman. Oleh itu, menurut Said  Hawa,  pemusatan perlu diberi kepada proses pendidikan untuk memastikan lahir titik tolak yang betul.

    Tarbiyah Imaniyah Dalam Semua Aspek.

    Iman  tidak boleh dipisahkan daripada sebarang kegiatan hidup  manusia.  Setiap  pekerjaan  yang   dilakukan  hendaklah  dibina dan  didorong oleh  iman kepada  Allah  SWT. Dengan itu, barulah pekerjaan itu  dikira  sebagai  ‘ubudiyah (ibadah)  kepada  Allah  SWT.

    Menurut   Mustafa  Masyhur, ibadah yang sahih (betul) lahir daripada  aqidah  yang  baik.  Perkataan ibadah itu  mempunyai  sifat kesyumulannya  dan merangkumi segala urusan hidup, tidak terbatas kepada sembahyang, puasa,  zakat dan haji sahaja kerana risalah dan  tugas  manusia dalam  hidup ini ialah beribadah kepada Allah. Hidup seluruhnya ialah ibadah
    kepada Allah.

    “Tidak  Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk  beribadah kepada Aku.”        (Al-Zariyat: 56)
     
    Oleh itu setiap muslim mestilah bersungguh-sungguh merealisasikan pengertian ini dengan niat yang betul dalam setiap pekerjaan mereka. Dengan itu, barulah makan  minum, ilmu  dan  amalan, riadah dan perkahwinan menjadi wasilah (jalan) mentaati Allah. Rumah menjadi mihrab (tempat beribadah kepada Allah). Begitu juga  sekolah, kolej, kilang, tempat perniagaan, kebun, ladang, sawah,  padang permainan, malah dunia seluruhnya  menjadi  tempat beribadah kepada Allah SWT. Dengan perkataan lain, segala usaha dan perkataan yang terbit daripada seorang muslim merupakan ibadah kepada Allah.

    Dengan itu hubungan sentiasa wujud antara hamba dengan Penciptanya dalam semua aspek kehidupan. Semua urusan dirujuk kepada syariat Allah SWT. Hubungan hati manusia  dengan Allah pada setiap masa adalah asas  utama  bagi melaksanakan tarbiyah Islamiyah dengan berkesan.

    Aspek rabbani dalam tarbiyah Islamiyah adalah aspek  yang  paling penting kerana matlamat pendidikan Islam ialah melahirkan insan mukmin dalam  pengertian sebenar iaitu insan yang memiliki iman yang menguasai hati dan fikiran, lahir  dalam bentuk amalan dan  tindakan,  seperti  yang disebutkan dalam al-athar: “...Ia sebati  dalam  jiwa  dan  dibenarkan  dalam  bentuk amalan.” Allah berfirman yang bermaksud:

    “Sesungguhnya  orang yang beriman ialah orang  yang  beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan    Allah.”  (Al-Hujurat: 15)

    Tunggak tarbiyah rabbaniyah ialah hati yang subur,  sentiasa berhubung  dengan Allah SWT, yakin akan menemui-Nya,  mengharapkan rahmat-Nya  dan  takut akan azab-Nya. Jiwa  yang  hidup inilah yang menjadi  tumpuan  Allah swt untuk dicampakkan nur kepadanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

    “Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa bentuk kamu tetapi Dia melihat kepada hati dan amalanmu.”

    “Pada  hari di mana tidak berguna harta dan anak pinak  kecuali mereka  yang  balik  kepada  Allah  dengan  hati  yang (sejahtera).”

    Tarbiyah Islamiyah berusaha menghi-dupkan jiwa  supaya  tidak  mati,  memakmurkannya  supaya  tidak  binasa   dan melembutkannya  supaya  tidak keras kerana hati yang keras dan  akal yang beku  merupakan  satu  kemungkaran  yang  perlu  diminta perlindungan Allah SWT daripadanya.
     
    “Adapun  Nabi  SAW  meminta perlindungan  daripada  Allah  SWT daripada ilmu yang tidak bermanfaat dan daripada hati yang tidak khusyu’.”

    Hati Yang Soleh.

    Baik buruk seseorang itu berpunca  daripada  hatinya. Tepat seperti  yang telah disabdakan oleh  Rasulullah  SAW  dalam hadithnya yang bermaksud:

    “Ketahuilah di dalam  jasad manusia terdapat  seketul  daging, jika baik ketulan itu maka baiklah seluruh jasadnya,  tetapi jika  rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah ia adalah hati.”

    Oleh  itu membaiki dan merawat hati daripada sebarang penyakit perlu diberi keutamaan. Jiwa perlu dibersihkan daripada   sebarang  syirik  dan  sifat  yang   tercela seperti hasad,  ‘ujub,  takkabur,  bakhil,  cintakan  dunia, menurut hawa nafsu dan sebagainya.

    Menurut  Ibn Qaiyyim al-Jauzi, hati  itu menjadi baik apabila ia mengenali Allah yang menciptanya,  nama-Nya, sifat-Nya,  perbuatan-Nya dan peraturan-Nya. Hati  yang sihat  akan  mengutamakan keredaan Allah dan  mencintai  apa yang disukai Allah serta menjauhi segala tegahan dan perkara yang dimurkai-Nya.

    Realiti Masyarakat Islam Kini.

    Adalah satu hakikat yang mudah difahami iaitu manusia hendaklah menjadi muslim dan dididik dengan didikan Islam. Bagaimanapun perkara  semudah ini tidak difahami oleh  umat  Islam hari ini atau kabur bagi mereka.

    Umat Islam hari ini rata-rata kehilangan sahsiah atau identiti sebagai umat pilihan, hilang kekuatan dan terumbang-ambing  menjadi buih, tidak digeruni atau disegani  lagi seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:

    “Hampir  seluruh  umat  manusia  bersatu  menghancurkan  kamu seperti  orang  yang sedang lapar  menghadapi  hidangan makanan.  Mereka bertanya: ‘Apakah kita sedikit pada masa  itu, wahai Rasulullah?’ Jawab baginda: ‘Malah kamu banyak, tapi  kamu laksana buih air bah.”

    Dasar Penyelesaian Islam.

    Masalah  manusia  hari ini tidak akan dapat dirungkaikan  kecuali  kembali kepada Islam. Islam pula tidak dapat memainkan  fungsinya  melainkan wujud para  pendokong (‘amilinnya).

    Meneliti  sejarah Rasulullah  SAW, para pendokong dibentuk  dan  diproses  melalui Tarbiyah Islamiyah yang  mengikrarkan  ‘ubudiyah hanya kepada Allah; ‘ubudiyah yang  merangkumi  i’tiqad, ibadah dan peraturan yang benar-benar berjalan dalam amalan hidup mereka. Proses ‘ubudiyah seperti ini akan membersihkan  jiwa mereka daripada beriman  kepada  yang lain dan mengawasi amalan mereka daripada bermatlamatkan yang lain daripada Allah semata-mata.

    Melalui proses ini sahajalah ummah Islamiyah dapat dibentuk. Ummah ini akan menjadi  dasar  penyelesaian  Islam. Ummah  yang  dianggotai  oleh mereka yang melalui proses pembentukan yang bertolak daripada kalimah tauhid yang diikrarkan oleh setiap anggotanya iaitu ‘La ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah’.

    Selagi ikrar ini tidak lahir dalam  bentuk  amalan individu mahupun masyarakat sebagai natijah proses pembentukan itu, mereka belum layak untuk menganggotai ummah muslimah dalam pengertian sebenar. Konsep yang tegas dan jelas ini  perlu difahami oleh setiap muslim yang telah bertekad untuk memutuskan hubungannya dengan jahiliah dan mengikrarkan ‘ubudiyahnya hanya bagi   Allah SWT. Kefahaman yang jelas ini penting supaya amalan hidup setiap  muslim adalah benar-benar merupakan ibadah yang diredhai Allah SWT. Dengan perkataan lain ikrar itu menjadi kaedah atau asas  bagi  suatu sistem yang lengkap dan praktik. Dengan itu, kehidupan ummah  Islamiah benar-benar diasas dan dikawal oleh kaedah ini, bukan kaedah lain atau bersama kaedah lain. Allah berfiman dalam Surah Yusuf, ayat 40 yang bermaksud:

    “Keputusan hukum itu kepunyaan Allah. Dia memerintahkan  supaya jangan tunduk memperhambakan diri melainkan kepada-Nya. Itulah din (agama) yang benar.”

    Dalam Surah An-Nisa’, ayat 80 pula  Allah berfirman yang bermaksud:

    “Siapa  yang  mematuhi Rasul maka  sesungguhnya  ia mematuhi Allah.”

    Berdasarkan kepada proses pembentukan dan pembangunan itu, maka langkah pertama ialah membersihkan jiwa  anggota  daripada  ‘ubudiyah  kepada  yang  lain daripada Allah swt sama ada dalam bentuk i’tiqad, ibadah dan syariat. Ummah yang dianggotai  mereka  yang  sudah  bersih  hati dan jiwa sahaja yang dapat membangunkan masyarakat Islam.

    Ummah yang dibangunkan di atas dasar tauhid tidak dapat diwujudkan kecuali setelah tencapai suatu tingkat kekuatan  yang  mampu menghadapi cabaran dan tekanan masyarakat jahiliyah. Kekuatan yang dimaksudkan ialah  kekuatan  aqidah,  kekuatan  syariah, kekuatan ahklak, kekuatan organisasi, kekuatan ilmu dan pelbagai jenis kekuatan yang diperlukan bagi menentang sistem jahiliyah  atau sekurang-kurangnya mampu mempertahankan diri daripada dikuasai jahiliyah.