Muqaddimah
Rasulullah SAW bersabda:
“Islam telah bermula dengan dagang dan ia
akan kembali dagang, maka berbahagialah mereka bersama Islam di waktu ia
dagang.”
- Hadith Riwayat Muslim
Islam dan da’wahnya bermula dalam keadaan dagang. Islam sewaktu mula didatangkan di Makkah Al Mukarramah, asing dan tidak dikenali oleh masyarakat. Oleh kerana Islam ghurbah dan unik maka Islam dibenci dan dimusuhi. Pembawa dan pendokong-pendokongnya dizalimi dan dihadapkan dengan berbagai-bagai mehnah dan tribulasi.
Akibatnya, ada yang kehilangan penglihatan, ada yang gugur syahid, yang terpaksa berhijrah ke Habsyah dan akhirnya pendokong-pendokong Islam berhijrah ke Madinah demi mencari keredhaan Allah SWT dan merealisasikan Islam di dalam wajahnya yang murni sebagai ad-Din. Hal ini telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Firman-Nya:
“Bagi orang-orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan daripada harta benda mereka kerana mencari kurnia daripada Allah dan Rasul-Nya, mereka itulah orang-orang yang benar.” - Surah al-Hasyr: ayat 8
Faktor Dagang Pertama
Terdapat pelbagai faktor Islam dagang kali pertama
yang dikemukakan oleh pihak tertentu seperti faktor politik, sosial, ekonomi
dan sebagainya. Namun, di sana terdapat satu faktor terbesar yang menyebabkan
Islam dagang iaitu faktor aqidah Islam yang berlawanan dengan Jahiliyyah
atau kufur. Islam mengajak kepada aqidah yang sohih, serta realiti hidup
salimah, syamilah dan kamilah yang mana bertentangan dengan kekufuran.
Islam dan kekufuran sentiasa dalam keadaan harb (peperangan). Kekufuran
tidak dapat menerima Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah SWT. Kekufuran tidak
menerima hukum-hukum dan undang-undang Allah SWT berjalan dan berkuasa
di bumi. Firman Allah SWT:
“Tiada kekuasaAn memerintah itu melainkan
Allah sahaja. Dia memerintah supaya kamu jangan menyembah selain daripada-Nya,
kerana yang demikian itu adalah Din yang lurus.” - Surah Yusuf: ayat 40.
Inilah faktor terbesar. Faktor ini wujud di setiap zaman, hatta di zaman sekarang walau pun tersembunyi di sebalik faktor-faktor lain.
Dengan ketentuan Allah SWT dan pertolongan-Nya serta berkat usaha, pengorbanan dan jihad Rasulullah SAW bersama-sama para sahabat r.a. yang sabar dan ikhlas, maka ghurbah (dagang) tersebut telah hilang. Akhirnya petunjuk dan rahmat Allah SWT diterima, dihayati dan didaulatkan sepenuhnya di Madinah al-Munawwarah.
Pengorbanan dan jihad Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat
baginda telah diterima dan diredhai Allah SWT. Mereka adalah contoh ikutan
bagi kerja-kerja da’wah untuk mendaulatkan din Allah. Allah SWT telah mengabadikan
pengorbanan mereka dalam firman-Nya:
“Golongan terdahulu dan awal di kalangan Muhajirin
dan Ansar serta orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada
mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka
syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di
dalamnya selama-lama. Itulah kemenangan yang besar.” -
Surah at-Taubah: ayat 100
Ghurbah Ath-Thaniyah (Dagang Kedua)
Generasi pertama iaitu Generasi Al-Quran yang dididik oleh Rasulullah SAW telah berlalu. Kerja-kerja mereka telah selesai. Kelemahan umat Islam dan kelemahan pimpinan dalam generasi-generasi selepas mereka telah berlaku. Daulah Islamiyyah telah jatuh satu persatu dan yang terakhir ialah kejatuhan Daulah Othamaniyyah di Turki. Serentak dengan itu pengaruh sekularisma yang ditaja oleh penjajah telah bertapak, menular dan berkembang pesat di seluruh negara yang diperintah oleh umat Islam. Pengaruh itu terus berakar umbi hingga kini di negara-negara Islam tanpa kecuali. Akibatnya Islam kembali ghurbah untuk kali kedua. Kini realiti menunggu rijal-rijal untuk menghilangkan Ghurbah Ath-Thaniyah.
Benarlah sabda Rasulullah SAW:
“Islam bermula dalam keadaan dagang, ia akan
kembali dagang. Beruntunglah orang yang berpegang dengan Islam ketika ia
dagang.”
- Hadith Riwayat Muslim
Dalam sabda baginda yang lain:
“Beruntunglah sesiapa yang beriman denganku walaupun tidak melihatku (bersamaku)”.
Sebab-Sebab Ghurbah Masa Kini
1. ‘Aqidah umat Islam tidak lagi berfungsi akibat
pengaruh din bukan Islam. Sedangkan da’wah Rasulullah SAW mengajak kepada
aqidah yang soheh, hidup dan berfungsi. ‘Aqidah yang menerima Allah SWT
sebagai Ilah dan Rabb. Menerima HakimiyyahNya. Menerima Din-Nya serta mendaulat
dan mempertahankannya di sepanjang hayat. Ini kerana Islam sahaja yang
diterima oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT:
“Hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu din
kamu, dan Aku sempurnakan ni’mat-Ku, dan Aku redha bagi kamu Islam sebagai
din.”
- Surah al-Maidah: ayat 3
Dengan Islam sahajalah manusia dimuliakan. Firman Allah SWT:
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, menyeru pada kema’rufan dan mencegah daripada kemungkaran serta kamu beriman dengan Allah.” - Surah ‘Ali Imran: ayat 110
Inilah sebab terbesar yang menjadikan Islam ghurbah. Sebab ini mengatasi sebab-sebab sosial, politik, ekonomi dan sebagainya.
2. Kejahilan umat tentang Islam baik dari segi tasawwur, tuntutan mahupun penghayatannya. Begitu juga kejahilan tentang sifat-sifat Allah SWT, sifat-sifat Rasulullah SAW, Hari Pembalasan dan perkara-perkara yang bersangkutan.
3. Sikap umat yang melupai dan mengabaikan ingatan-ingatan Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Tetapi mereka sengaja melupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diberikan peringatan dengannya; maka Kami timbulkan di antara mereka permusuhan dan kebencian sampai ke kari qiamat.” - Surah al-Maidah: ayat 14
4. Realiti umat yang beriman dengan sebahagian
daripada kandungan al-Kitab (al-Quran) sahaja. Firman
Allah SWT:
“Apakah kamu beriman dengan sebahagian al-Kitab
dan ingkar dengan sebahagian yang lain? Tiadalah balasan orang yang berbuat
demikian daripada kamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia dan di
Hari Akhirat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah
tidak lengah daripada apa yang kamu perbuat.” -
Surah al-Baqarah: ayat 85
5. Dunia menguasai hati dan kehidupan umat Islam. Umat Islam kasihkan dunia dan bencikan kematian. Apabila ‘aqidah umat telah sakit dan tidak berfungsi, kejahilan menyelubungi kehidupan, ingatan-ingatan Allah SWT diabaikan, dunia menguasai kehidupan dan jihad ditinggalkan, maka Islam menjadi Ghurbah.
Realiti kini, Islam berada di suatu lembah manakala umat Islam berada di suatu lembah yang lain. Islam menjadi sasaran musuh. Ustaz Sa’id Hawwa ada menyatakan:
“Kita dapati Islam dan kaum Muslimin menjadi sasaran musuh luar dan dalam...”
Walaupun musuh pada zahirnya kelihatan bergeseran di kalangan mereka, namun mereka semua akan bersatu apabila menghala dan menghentam Islam. Sabda Rasulullah SAW:
“Kekufuran mempunyai satu Millah.”
6. Penyakit perpecahan dan kedengkian yang
menyerang hati-hati orang Islam. Firman Allah SWT:
“Mereka tidak berpecah belah kecuali sesudah
datang kepada mereka pengetahuan kerana kedengkian antara mereka.”
- Surah asy-Syura: ayat 14.
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya.
Janganlah kamu berbantah-bantah menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang
kekuatan kamu.” - Surah al-Anfal: ayat 46.
Ciri-Ciri Ghurbah
1. Berlaku Bid’ah Fiddiin iaitu umat Islam mengambil jalan (Din) yang bukan jalan Islam.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah jalan itu, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain kerana jalan-jalan tersebut mencerai-beraikan kamu daripada jalan-Nya.”
2. Berbagai-bagai isme dianuti dan dicampur-adukkan
dengan Islam. Firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah
kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan jangan kamu mengikuti jalan-jalan
syaitan.”
- Surah al-Baqarah: ayat 208.
3. Cara hidup yang tidak menggambarkan aqidah di mana mungkar dipandang ma’ruf dan ma’ruf dipandang mungkar.
4. Lahir perkara-perkara syubhat dalam urusan umat Islam seharian, disamping mengikuti fahaman sekular yang diciplak daripada kristianisme dan kolonialisme peninggalan penjajah. Islam dianggap tidak sesuai untuk masa kini. Islam dikatakan tidak membawa kemajuan dan pembangunan.
Akhirnya, umat Islam menjadi dagang di tanah air sendiri. Islam dagang di gedung perniagaan, di rumah, di dalam keluarga, di pejabat dan sebagainya. Islam berada di satu lembah dan kaum Muslimin berada di satu lembah lain.
Kalaulah Islam dapat diumpamakan seperti seorang insan, maka sudah pasti akan kedengaran suara tangisannya yang jauh di lubuk kedagangannya.
Permasalahan Islam
Permasalahan Islam kini yang perlu diselesaikan segera adalah:
1. Masyarakat tidak faham Islam. Mereka tidak jelas tasawwur Islam sebenar. Fahaman mereka berbentuk juz’i dan bercampur aduk. Misalnya ada yang melihat Islam dari aspek hukum semata-mata tanpa melihat kepada Qadhiyyah Ilahiyyah yang menyeluruh.
2. Masyarakat tidak nampak Din
Allah SWT dan rahmat-Nya sebagai suatu alternatif yang dapat menyelesaikan
permasalahan manusia dan menyelamatkan mereka daripada kehancuran. Firman
Allah SWT:
“Dan barangsiapa yang tidak diberikan cahaya
(pertunjuk) oleh Allah maka ia tidak mempunyai cahaya (pertunjuk) walaupun
sedikit.”
- Surah an-Nur: ayat 40
3. Pupus syu’ur untuk kembali kepada Islam. Sedangkan Islam mendidik umatnya supaya bekerja dan berusaha untuk menegakkan Din Allah SWT serta mempertahankannya, bukan sebaliknya mempertahankan Din bukan Islam.
“Sesiapa yang benci untuk bertemu dengan Allah SWT, maka Allah SWT benci untuk bertemu dengannya.”
Tidak dinafikan bahawa terdapat individu-individu yang faham Islam, menerima Islam sebagai alternatif dan memiliki syu’ur untuk kembali kepada Din Allah SWT sepenuhnya. Tetapi malangnya mereka tidak terkumpul sebagai satu kekuatan dalam bentuk jama’ah yang tersusun rapi dan mempersaksikan rahmat Allah SWT dalam bentuk yang sempurna.
Cara Mengatasi Ghurbah
Untuk mengatasi Ghurbah ath-Thaniyah, maka tidak
ada jalan lain melainkan kembali kepada jalan Rasulullah SAW. Yakni jalan
yang telah berjaya memnghilangkan Ghurbah al-Islam al-Awwal. Firman
Allah SWT:
“Sesungguhnya pada Rasulullah itu teladan
yang baik bagi mereka yang mengharapkan rahmat Allah dan keselamatan hari
Akhirat dan banyak mengingati Allah.” - Surah
al-Ahzab: ayat 21.
Sabda Rasulullah SAW: "Hendaklah
kamu mengikuti sunnahku.... “
“Dan sebaik-baik pertunjuk ialah pertunjuk
Muhammad SAW.”
Antara cara-caranya ialah:
1. Memahamkan Islam kepada
masyarakat sebagaimana yang difahami oleh Rasulullah SAW dan para sahabat
r.a. yang mulia. Islam adalah satu cara hidup yang benar dan akan membawa
kepada keredhaan Allah SWT. Manakala cara hidup yang lain adalah batil,
sesat dan dimurkai Allah SWT. Dengan Islam sahaja akan berakhir kefasadan,
kejahatan dan kerosakan di bumi. Islam adalah Taklif Rabbani. Manusia bertanggungjawab
untuk memahaminya, beriman dengannya, menyampaikannya dan menegakkannya
di dalam kehidupan. Firman Allah SWT:
“Sesiapa yang mencari selain Islam sebagai
cara hidup, maka sesekali tidak akan diterima.” - Surah Ali ‘Imran: ayat
85.
Sabda Rasulullah SAW:
“Demi yang jiwaku di tangan-Nya. Tidak mendengar
daripadaku seseorangpun dari umat ini, samada Yahudi atau Nasrani, kemudian
dia tidak beriman dengan apa yang diutuskan padaku, melainkan dia adalah
terdiri ahli neraka.”
Islam hendaklah difahamkan melalui wasilah yang betul dan masyru’, bersumberkan masdar yang asli iaitu Al Qur’an, As Sunnah dan kitab-kitab ulama’-ulama’ muktabar agar Islam yang diketengahkan itu Syamil dan Kamil.
2. Melaksanakan didikan untuk melahirkan muslim yang serasi dan komited dengan Islam. Muslim berkerja untuk Islam sepanjang hayat. Muslim memiliki sifat-sifat mahmudah seperti yang dimiliki para sahabat Rasulullah SAW. Muslim yang menjadi rijal dan mujahid yang mukhlis. Muslim yang terikat dengan akhirat. Muslim yang merasai Ukhuwwah Fillah.
Didikan yang dijalankan di atas asas Iman yang akan melahirkan kesungguhan di dalam kerja-kerja da’wah. Al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna r.a. menyatakan yang bermaksud:
“Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam menyampaikan dan memasukkan da’wah di hati sahabat-sahabatnya Generasi Awal ialah menyeru mereka supaya beriman dan beramal. Kemudian dihimpun hati mereka dengan penuh kasih sayang dan persaudaraan, mereka berhimpun di atas kekuatan aqidah dan kekuatan kesatuan, maka jadilah mereka jamaah contoh yang semestinya terjulang kalimah dan da’wahnya, memperolehi kemenangan walaupun ahli-ahli bumi seluruhnya tidak menyetujui dan menentang mereka.”
Barisan muslimin yang bangkit sebagai du’at. Mereka berda’wah kepada keluarga dan masyarakat agar kembali kepada Islam sebagai Din Allah yang bersifat Kamil dan Mutakamil.
3. Melaksanakan jihad. Pembentukan masyarakat Islam dan pemerintahan Islam, yang menjadi matlamat asasi dalam ‘Amal Islami, tidak akan tercapai tanpa jihad. Malah jihad mengangkat pekerja-pekerja Islam daripada segala kerendahan kepada ketinggian. Jihad akan menjadikan pekerja-pekerja Islam terikat dengan Islam siang dan malam. Terpaut rasa dengan alam ukhrawi sepertimana terpautnya manusia lain kepada kehidupan dunia.
Jihad perlu berterusan. Orang-orang yang mati tanpa berjihad tergolong dalam golongan munafiq. Orang-orang yang mati tanpa kesan jihad akan bertemu Allah SWT dalam keadaan sumbing. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang bertemu Allah (mati) tanpa kesan jihad, maka dia bertemu Allah dan padanya terdapat kesumbingan.” - Hadith Riwayat at-Tarmizi.
Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang mati dan tidak pernah berperang dan jiwanya tidak berlaku peperangan, maka dia mati di atas cabangan nifaq.” - Hadith Riwayat Muslim.
Firman Allah SWT:
“Kalau kamu serukan kepada mereka itu keuntungan
yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pasti mereka
mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu mereka terasa amat jauh.” -
Surah at-Taubah: ayat 42.
4. Du’at perlulah bekerja secara
jama’i, tidak keseorangan. Rasulullah SAW bersabda:
“Tangan Allah bersama jama’ah.”
5. Hendaklah difahami bahawa dengan kesedaran dan semangat semata-mata tidak akan lahir pekerja dan penda’wah sepanjang hayat. Hamasah (semangat) akan hilang apabila bertemu dengan ‘Uqubah dan Mehnah (bencana dan ujian) di atas jalan da’wah. Lebih-lebih lagi jalan da’wah ini panjang dan jauh. Ia tidak dihampari dengan permaidani indah atau ditaburi dengan bunga-bungaan. Justeru itu Tarbiyyah, Takwin dan bekerja secara jama’i adalah perlu.
Dengan adanya Tarbiyyah dan Takwin, InsyaAllah akan lahirlah pekerja sepanjang hayat, iltizam dengan matlamat da’wah yang besar dan bercita-cita mencari keredhaan Allah SWT semata-mata.
Penutup
Menegakkan kembali Din Allah SWT adalah Amanah Qubra (besar) dan taklif Rabbani. Du’at perlu memikul Amanah dan Taklif ini. Meninggalkannya adalah berdosa lantaran du’at berada di satu penjuru daripada penjuru-penjuru Islam yang perlu dikawal dan dijaga agar musuh tidak dapat menceroboh.
Bersama-samalah du’at memikul tugas yang mulia ini. Mengajak masyarakat ke jalan Allah SWT secara jama’i, dengan penuh rasa Ukhuwwah dan dengan mempersaksikan Qudwah Hasanah demi pengabdian kepada Allah SWT.
Medan da’wah dan berkerja untuk Islam adalah medan yang Allah SWT muliakan. Begitu juga du’at menjadi mulia di atas medan ini. Du’at hidup dan mati di atasnya. Du’at beristiqamah di atasnya hingga kembali bertemu Allah SWT dalam keadaan mendapat kasih-Nya dan tersela-mat daripada kemurkaan-Nya.