Hakikat iman kepada Allah SWT adalah satu hakikat besar yang mencakupi seluruh bidang kehidupan manusia. Apabila iman bersemi di dalam hati seseorang, maka iman itu akan terus menjelmakan kesannya dalam bentuk amal perbuatan, kegiatan dan perjuangan yang mengharapkan Allah SWT atau redha Allah SWT. Dia taat kerana Allah SWT. Dia tunduk dan patuh kepada titah perintah Allah SWT samada kecil atau besar.
Tidak bersekongkol bersama-sama hakikat Iman itu hawa nafsu dan syahwat yang sering mengajak manusia menyeleweng daripada ajaran Allah SWT. Bahkan iman itu akan mengajak nafsu dan syahwat untuk tunduk mengikut ajaran Muhammad SAW yang didatangkan daripada Allah SWT.
Imanlah yang akan mencernakan keseluruhan aspek kehidupan manusia yang meliputi bisikan jiwa, cetusan hati, keinginan roh, kecenderungan fitrah, gerakan jasmani, tindakbalas pancaindera dan semua perbuatan samada semasa bersendirian mahu pun di depan orang ramai mengikut kehendak Allah SWT.
Sesungguhnya iman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya itu merupakan keyakinan dan penyaksian dalam hati dengan segala kesungguhan yang membuatkan hati menjadi juru bicara Din Islam. Juru bicara yang hidup.
Iman itu akan hidup dalam perasaan dan menjadi roh bagi tingkah laku. Alangkah indahnya Iman ini. Alangkah baik dan sucinya.
Iman yang betul akan melahirkan contoh-contoh ta’at kepada Allah SWT pada diri seseorang. Contoh-contoh itu akan memberi kesan pula kepada hati kawan-kawannya. Contoh-contoh itu adalah penyaksian amalan Islam yang akan membekas ke dalam jiwa manusia lain. Justeru itu seseorang itu akan menjadi juru da’wah Islam kepada manusia, setelah ia memberikan keutamaan dan kelebihan terlebih dahulu kepada dirinya sendiri.
Iman adalah masdar yang melahirkan ma’ruf dan menolak munkar. Iman adalah asas yang akan mewujudkan kerajaan Allah SWT di muka bumi yang berfunngsi di dalamnya hukum-hukum Allah SWT. Iman mencorakkan kehidupan Islam dan menentang kehidupan Jahiliyyah. Iman akan meletakkan seseorang di atas jalan hidup yang sempurna. Jalan hidup yang mengandungi segala perintah Allah SWT.
Amanah yang dipikul oleh manusia
Amanah yang besar telah ditolak oleh langit, bumi dan gunung ganang. Amanah itu akhirnya diterima dan diletakkan di atas bahu manusia. Amanah itu ialah amanah hidayah, amanah untuk mengenal Allah SWT dan amanah Iman kepada-Nya. Jiwa manusia telah diberikan persediaan-persediaan untuk membolehkannya memikul amanah tersebut. Untuk memikul amanah itu, manusia perlu insaf, sedar, berkehendak, bersungguh-sungguh dan berkorban. Itulah amanah yang sesuai dengan fitrah asal manusia.
Segala makhluk selain daripada manusia telah diilhamkan oleh Allah SWT untuk beriman, mendapat pertunjuk, mengenal, menyembah dan mentaati-Nya secara fitrah dan paksa tanpa perlu berikhtiar dan berusaha. Hanya manusia diberikan aqal, ma’rifah, kehendak, kesungguhan dan pengorbanan untuk berikhtiar dan berusaha untuk sampai kepada Allah SWT dengan izin-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesiapa berjihad kerana Kami akan Kami tunjuki mereka jalan Kami.”
Itulah amanah yang diterima manusia dan menjadi kewajipan baginya melaksana amanah itu dengan bersungguh-sungguh.
Mandat Allah SWT
Allah SWT telah berjanji untuk memberikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal saleh mandat membangunkan sistem Islam di bumi. Allah SWT telah berjanji kepada mereka bahawa Dia akan mengangkat mereka sebagai Khalifah atau penguasa di bumi. Seperti halnya diangkatkan orang-orang mu’min soleh sebelum mereka, agar mereka membangunkan syari’at Allah SWT. Dan melaksanakan keadilan mengikut kehendak Allah SWT serta membawa umat manusia ke jalan yang benar.
Kekhalifahan bukan semata-mata kerajaan, pemerintahan atau kekuasaan. Kekhalifahan harus dipergunakan untuk kebaikan dan membina kemakmuran serta menegakkan jalan Allah SWT agar manusia dapat berjalan di atasnya.
Khilafah bukanlah bertujuan untuk membuat keruntuhan, kejahatan, kezaliman dan perkosaan. Khilafah bertujuan untuk meninggikan keperibadian manusia, bukan merosakkan keperibadian manusia ke lembah kebinatangan.
Al-quran membimbing manusia ke jalan tersebut. Iman adalah dasarnya.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya apa yang tercantum dalam al-Quran ini sudah cukup untuk
mereka yang berabdi. Engkau Kami utus untuk membawa rahmat kepada alam
semesta.”
- Al-Anbiya’: 106-107