GAWAT: Satu Analisis Dari Perspektif Islam
       

      Pendahuluan

                Dari segi istilah, gawat bermaksud bising, riuh, kelam kabut atau hilang punca. Dalam sesuatu keadaan yang kelam kabut, berbagai saranan dapat didengar untuk cuba menyelesaikan masalah berkenaan. Ada yang menepati masalah, ada yang tersimpang malah ada yang akan memburukkan lagi keadaan yang sedia ada.

               Keadaan gawat yang dihadapi negara sejak kebelakangan ini, seperti isu kejatuhan nilai ringgit, jerubu, kekurangan bekalan air di Lembah Klang dan keruntuhan moral di kalangan anak-anak muda, sepatutnya membuka minda kita untuk berfikir mengenai puncanya. Pandangan umum menganggap bahawa krisis demi krisis yang dihadapi negara dari aspek politik, sosial, ekonomi dan nilai moral adalah kesan sampingan daripada usaha untuk mengejar pembangunan fizikal dan kebendaan sahaja. Sebagai seorang Muslim, kita tidak sepatutnya mengikut format dan agenda pembangunan yang digariskan oleh negara-negara kapitalisme-sekularisme. Kita berhak mempersoal, menolak dan menyediakan laluan alternatif ke arah pembangunan ini.

      Analisis gawat

               Dari segi dasarnya, gawat bermaksud suatu keadaan yang tidak normal. Sebagai contoh,  ditakdirkan berlaku satu kemalangan jalanraya. Penyelesaian yang dianggap normal ialah akan muncul seorang yang bijaksana yang akan mengatur langkah-langkah tertentu untuk menyelamatkan mangsa kemalangan seperti memanggil pehak polis, perkhidmatan ambulan dan sebagainya. Beliau boleh membahagi-bahagikan tugas tersebut dengan berkesan menerusi watak dan kepimpinannya. Jika tiada siapa yang bijaksana muncul ke hadapan untuk menangangi suasana tersebut, keadaan akan menjadi gawat.

               Tetapi bagaimana jika tiada orang yang bijaksana ketika itu atau tiada siapa yang ingin mengakui dirinya bijaksana? Jawapannya akan membuka persoalan yang lebih besar lagi: Apakah yang telah masyarakat atau negara lakukan selama ini sehingga tidak melahirkan ramai orang yang bijaksana dan jujur serta bersedia untuk menyumbangkan baktinya dalam apa jua keadaan sekalipun?

               Menurut Imam Al-Ghazali (rhm), “Hendaklah ada di setiap daerah seorang faqih”. Begitu juga penekanan Islam tentang wajibnya menuntut ilmu. Islam menuntut supaya ulamak atau ilmuan bersifat jujur kerana seburuk-buruk makhluk di bawah langit ialah ilmuan yang jahat. Sebagai contoh, kita lihat tindakan Saidina Abu Bakr ketika menghadapi krisis Musailamah Al-Kadzdzab yang mengakui dirinya nabi dengan ilmu sihirnya yang didakwanya sebagai mukjizat dan telah memurtadkan ramai orang yang tidak berilmu. Beliau telah mengisytiharkan perang terhadap Musailamah dengan dalil bahawa aqidah orang ramai lebih utama dari nyawa simurtad. Keadaan kembali menjadi tenang dan masalah tersebut telah  dapat diselesaikan.
       
              Begitu juga pada zaman Khalifah Mansur di mana telah berlaku krisis ekonomi apabila hasil tanaman merosot dan Baitul Maal kekurangan wang untuk menguruskan perbelanjaan negara. Khalifah Mansur berpendapat bahawa di samping zakat, rakyat juga hendaklah dikenakan cukai tambahan. Cadangan ini ditolak oleh Imam Nawawi (rhm) dengan alasan rakyat boleh dikenakan cukai tambahan jika setelah semua intan belian, kuda-kuda hiasan dan perhiasan-perhiasan istana dilelong dan ribuan pelayan istana diberhentikan kerja tetapi masih tidak dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
       
      Disengajakan

              Walau bagaimanapun, keadaan gawat boleh disengajakan kerana ia merupakan satu strategi dan tektik perang saraf. Serangan ke atas ringgit sejak bulan Julai 1997 telah disengajakan untuk membolehkan campurtangan Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) dalam pentadbiran dan ekonomi Malaysia. Kita lihat sendiri apa yang telah berlaku di Thailand dan Indonesia selepas serangan ke atas matawang mereka dan bantuan bersyarat (campurtangan?) IMF yang turut menyaksikan kejatuhan Presiden Suharto dan Perdana Menteri Thailand. Begitu juga kes Azizah. Murtadnya besar kemungkinan telah dirancang oleh pehak tertentu untuk menguji ketahanan Undang-undang Syariah di Malaysia. Kejayaan kes Azizah telah membuka ruang untuk orang lain turut murtad.

               Oleh itu, semasa menghadapi isu-isu seperti ini kita tidak seharusnya dihanyutkan oleh suasana semasa tetapi sentiasa menganggap itu sebahagian daripada isu umat Islam, iaitu pertentangan antara jahiliyah dan kebenaran. Umat Islam hendaklah terus memberi fokus terhadap perjuangan mereka untuk membebaskan umat dari belenggu jahiliyah dengan mendakwahkan kebenaran Islam secara nyata dan terbuka. Umat yang sering terbawa-bawa isu-isu semasa sebenarnya telah dipesongkan dari menyasarkan usaha mereka ke arah membina masyarakat bertauhid. Rasulullah (saw) telah menghadapi isu penindasan ekonomi dan sosial sejak di Mekah lagi, namun Baginda tetap berdakwah dengan tarbiyyahnya difokuskan kepada pembinaan aqidah dan akhlak.

               Jika umat Islam sentiasa disibukkan dengan isu dan perkembangan semasa, mereka akan mengendur atau mengalah apabila isu tersebut ditunjuk-tunjukkan jalan penyelesaiannya. Contohnya apabila orang-orang Palestin mahu segera aman dari berperang, Amerika Syarikat dan Israel telah mengambil kesempatan dengan menjanjikan sebuah negara Palestin yang merdeka. Mereka telah tertipu oleh musuh-musuh berkenaan kerana yang berjaya ialah pengiktirafan dunia ke atas negara Israel sedangkan tanah air Palestin tetap dirampas sekeping demi sekeping untuk penempatan perkampungan Yahudi.

               Suatu ketika dahulu berdakwah kepada masyarakat lebih cenderung kepada isu pemakaian tudung oleh wanita. Usaha tersebut mungkin nampak berhasil dan sebilangan orang Islam berasa lega dengan perubahan ini. Kelegaan sementara tersebut telah memberi keselesaan kepada umat dan merehatkan sebilangan ulamak kerana menyangka umat Islam sedang bertambah baik. Tetapi kita dapati hari ini begitu berleluasa pemakai tudung berdua-duaan secara terang-terangan. Gejala bohsia dan bohjan di samping isu murtad yang tidak dapat diselesaikan membuktikan umat Islam semakin parah. Semua ini berpunca dari usaha dakwah kepada umat yang tidak dijuruskan ke arah pembinaan tauhid yang menjadi fokus sepanjang zaman. Imam Malik (rhm) menyebut, “Jalan mengubati penyakit umat ini ialah jalan yang sama yang telah mengubati penyakit umat yang pertama dahulu”.

      Antara ujian dan bala
       
              Masalah yang berbangkit kerana melakukan sesuatu menurut cara yang ditetapkan oleh syarak dinamakan ujian manakala masalah yang berbangkit kerana melakukannya tidak menurut ketetapan syarak dinamakan bala. Surah Ali Imran ayat 138-142 menjelaskan tentang ujian bagi orang-orang yang melaksanakan perintah syariat semasa menguruskan bumi tanpa tunduk kepada pilihan sistem jahiliyah:

      Ayat 138:
      Al-Quran ini ialah keterangan-keterangan untuk manusia, pimpinan kepada kebenaran dan pengajaran untuk orang-orang yang memelihara dirinya (dari kejahatan).

      Ayat 139:
      Dan janganlah kamu bersifat lemah dan bersedih sedang kamu lebih tinggi kalau kamu beriman.

      Ayat 140:
      Kalau kamu mendapat luka, sesungguhnya kaum musuhpun mendapat luka, dan hari-hari kemenangan itu Kami pergilirkan antara manusia supaya jelas orang-orang yang beriman itu, dan dijadikanNya sebahagian dari kamu mati syahid. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang melanggar peraturan.

      Ayat 141:
      Dan supaya Allah membersihkan orang-orang beriman dan membinasakan orang-orang kafir.

      Ayat 142:
      Apakah kamu mengira akan dapat masuk syurga sedangkan belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjuang (berjihad) di antara kamu  dengan penuh kesabaran.

      Ayat 85 Surah Al-Baqarah pula menjelaskan nasib orang-orang yang tunduk dengan desakan zaman lalu meninggalkan syariat dan mengambil sistem ajnabi:

      Apakah kamu beriman kepada sebahagian dari Al-Kitab (Taurat) dan mengingkari sebahagian yang lain. Tiada balasan bagi sesiapa yang berbuat demikian dari kalangan kamu melainkan kehinaan di dunia, dan pada hari akhirat mereka akan diazab dengan pedih……
       
      Kehinaan yang menimpa umat Islam ialah kehilangan Khilafah Islamiyah dan seterusnya diganyang musuh di sepanjang zaman.

      Jalan penyelesaian

              Langkah pertama ialah dengan mengambil sistem yang fitrah bukan yang ajnabi untuk mengurus kehidupan. Allah mempelawa deen Islam sebagai nikmat teristimewa dan lengkap. FirmanNya dalam Surah Al-Maidah ayat 3:

      ….. Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu deen (agama) kamu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu  atas kamu (dengan pemberian deen ini) dan telah Aku redhai Islam itu deen kamu….

      Maksud firman Allah (al Baqarah : 208):

      Hai orang yang beriman, masuklah dalam urusan Islam seluruhnya, dan jangan ikut langkah syaitan. Sungguh ia musuh kamu yang nyata.

               Langkah kedua ialah dengan membina kefahaman dan kesedaran Islam yang sebenar. Punca utama gurbah Islamiyah kali kedua ini ialah salah faham terhadap Islam. Umat Islam hari ini memahami Islam tidak seperti umat yang pertama yang dibentuk oleh Rasulullah (saw). Islam kini dianggap sebagai pakaian yang boleh ditanggal dan dipakai sesuka hatinya. Islam juga dianggap sebagai istiadat dalam acara rasmi dan kerohanian semata-mata. Ibnu Umar menganggap manusia seperti ini membuang  Al-Quran seperti membuang kain-kain buruk sahaja. Sabda Nabi (saw):
       
      Berbahagia sesiapa yang beriman dengan aku walaupun mereka tak pernah berjumpa dan melihat wajahku.

               Langkah terakhir ialah membina umat sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat 110 Surah Ali Imran:

      Kamu adalah umat  yang terbaik yang pernah dilahirkan untuk manusia; kamu menyeru kepada ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan kamu beriman kepada Allah ………….,

      dan dalam Surah Al-Ashr:

      Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar rugi kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran.