Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,
Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan bersyukurlah kepada-Nya kerana telah mengutuskan kepada kita seorang rasul bagi menyelamatkan kita daripada kegelapan jahiliyah dan syirik dengan cahaya Islam dan iman dan mengeluarkan kita daripada kegelisahan kepada ketenteraman jiwa. Firman Allah dalam Surah az-Zumar yang bermaksud:
“Adakah sesiapa yang Allah buka dadanya (hatinya) bagi menerima Islam dan dia mendapat petunjuk Allah sama dengan yang keras hati (kufur)?”
Firman Allah lagi dalam Surah Ibrahim yang bermaksud:
“Itulah kitab yang diturunkan kepada engkau bagi mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya (kekufuran kepada iman) dengan izin Rab mereka kepada jalan Allah yang Maha Berkuasa. Dan Maha Terpuji Allah yang memiliki apa yang ada di langit dan dibumi dan binasalah orang-orang kafir dengan siksaan yang sangat pedih.”
Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,
Ketika Muhammad SAW diutuskan, manusia berada dalam kegelapan jahiliyah.
Manusia hidup tanpa panduan yang betul dari segi aqidah, ibadah, akhlak
dan peradaban, nilai dan kemanusiaan. Yang kuat menghukum yang lemah, yang
kaya menghisap darah golongan yang miskin serta memperhambakan diri mereka
untuk memuaskan hawa nafsu semata-mata.
Mereka menyengutukan Allah dalam pelbagai bentuk syirik dan peribadatan. Ada yang menyembah berhala yang mereka cipta sendiri. Ada yang menyembah Masih Ibnu Mariam. Ada pula yang menyembah Uzair. Yang anehnya ada di kalangan penyembah-penyembah berhala itu, sewaktu di dalam perjalanan mereka menggunakan empat ketul batu. Tiga ketul sebagai tungku memasak dan seketul lagi untuk disembah. Pendek kata apa sahaja yang mereka rasakan perlu disembah, maka mereka lakukan. Na’uzubillah min zalik.
Begitulah tahap kesesatan yang menimpa manusia sekiranya mereka tidak mempunyai petunjuk yang betul dan ilmu yang boleh memandu mereka menuju jalan yang selamat di dunia dan akhirat.
Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,
Oleh itu, kita wajar berasa bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang dianugerahkan kepada kita dengan mengutuskan Rasulullah SAW. Nikmat ini telah menyelamatkan kita daripada berada di dalam kegelapan jahiliyah dan syirik serta memberi hidayah kepada kita agar berada di dalam petunjuk Allah. Kita perlu sentiasa beribadat kepada-Nya semata-mata tanpa ada pengecualian dalam mana-mana bahagian pun di dalam kehidupan kita. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku adalah bagi Allah Rab seluruh alam, tidak ada sekutu bagi-Nya dan begitulah aku disuruh.”
Firman Allah lagi yang bermaksud:
“Ilah kamu adalah Allah yang Esa, hendaklah kamu berserah kepada-Nya semata-mata dan berilah khabar gembira kepada mereka yang tunduk menyerah kepada Allah.”
Al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW sentiasa memandu kita menuju kehidupan yang selamat di dunia dan akhirat, membersihkan kita daripada sebarang bentuk syirik yang nampak dan tidak nampak. Kedua-duanya sentiasa mengajak kita mengikhlaskan ubudiyah kita hanya kepada Allah dan jangan ada sedikit pun keraguan yang boleh mencemar atau menjejaskan tauhid Uluhiyah dan Tauhid Rububiyah kita kepada Allah.
Dalam konteks ini, Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabatnya yang berkata; “Apakah yang Allah kehendaki dan engkau kehendaki wahai Muhammad?” Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Apakah engkau hendak menjadikan aku setanding dengan Allah swt? Malah hendaklah engkau berkata: Apa yang Allah kehendaki semata-mata.”
Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,
Demi menjaga kesucian dan ketulenan tauhid dan keimanan kepada Allah, Rasulullah SAW sentiasa memberi tunjuk ajar dan memandu sahabat-sahabat baginda agar tidak terjatuh dalam kerja-kerja atau perbuatan-perbuatan yang boleh merosakkan tauhid dan keimanan mereka secara tidak disedari.
Justru itu salah seorang sahabat bertanya kepada baginda sama ada perlu menundukkan kepala sewaktu memberi salam kepada baginda sebagai tanda menghormatinya. Rasululllah SAW menjawab yang bermaksud,
“Tidak, tidak boleh tunduk.”
Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa sewaktu Mu’az bin Jabal berkunjung
ke negeri Syam, beliau mendapati orang-orang Syam tunduk dan sujud kepada
pembesar-pembesar mereka. Peristiwa itu berlaku sebelum mereka menerima
Islam. Apabila Mu’az pulang, beliau tunduk dan sujud kepada Nabi SAW. Melihat
keadaan itu, Nabi pun berkata, “Apakah (yang kamu lakukan) ini, wahai Mu’az?.”
Mu’az menjawab, “Saya lihat penduduk Syam
tunduk kepada pembesar-pembesar mereka dan engkau lebih berhak untuk
dilakukan demikian, wahai Rasulullah (yakni lebih berhak daripada pembesar-pembesar
Syam).”
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sekiranya aku boleh memerintahkan seseorang manusia tunduk dan sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku perintahkan isteri-isteri tunduk menyembah suaminya kerana terlalu besar hak suami kepada isterinya.”
Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,
Banyak di kalangan manusia, hatta orang Islam sendiri, menyangka berhala ialah jasad-jasad seperti batu dan pokok yang disembah oleh manusia selain daripada Allah SWT. Dalam konteks ini, Islam lebih memahami hakikat berhala yang sebenarnya.
Ia bukan sahaja jasad-jasad yang biasanya disembah oleh manusia, sebaliknya hawa nafsu serta ideologi yang batil yang dipertahankan bermati-matian oleh manusia hingga boleh menghalang mereka daripada mendapat kebenaran dan petunjuk Allah, juga termasuk dalam pengertian dan hakikat berhala yang sebenarnya. Firman Allah yang bermaksud:
“Tidakkah engkau lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan dan Allah sesatkannya berdasarkan ilmu Allah dan Allah tutup rapat pendengaran dan hatinya dan menggelapkan penglihatannya. Maka siapakah yang memberi petunjuk kepadanya selepas Allah? Apakah kamu tidak mmengambil pelajaran?”
Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,
Orang yang menjadikan harta kekayaan sebagai matlamat hidup hingga tergamak dan sanggup memperalatkan serta memperhambakan orang lain untuk tujuan mengumpulkan dan membanyakkan harta atas desakan hawa nafsu semata-mata juga termasuk dalam kategori berhala. Berhala itu adalah dalam bentuk emas, perak dan kebendaan yang menguasai hati seseorang.
Islam datang untuk membebaskan orang-orang miskin daripada kekuasaan dan perhambaan mereka terhadap golongan tersebut dengan menghapuskan kezaliman dan mengingatkan mereka akan azab siksaan Allah di akhirat kelak. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan mereka yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakan-nya di jalan Allah, beritahulah mereka bahawa mereka akan mendapat azab yang pedih pada hari di mana emas dan perak dipanaskan di dalam neraka jahanam lalu dibakar dahi, lambung dan belakang mereka. Inilah harta benda yang kamu simpan untuk kamu sendiri maka rasalah sekarang akibat daripada apa yang kamu simpan itu.”