MUQADDIMAH
Tugas para Rasul ialah menyeru, menyedar, menggembur dan membentuk manusia agar beriman kepada Allah S.W.T. Atau, dengan kata lain, mengajak dan membentuk keperibadian manusia agar tunduk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah S.W.T. semata-mata. Tugas atau peranan ini dilaksanakan oleh para rasul terhadap umat masing-masing. Muhammad Rasulullah S.A.W. pula melaksanakannya terhadap seluruh manusia. Firman Allah S.W.T. maksudnya;
“Dan Kami mengutuskan kepada setiap ummat itu Rasul (yang menyeru) hendaklah kamu menyembah Allah dan menjauhi taghut.”(An-Nahl: 38)
Al-Quran telah mengarahkan Rasulullah S.A.W. supaya mendidik hati, fikiran, perasaan, tingkahlaku dan akhlak manusia ke paras yang lebih tinggi dan mulia. Seterusnya, membentuk ummah dan membina daulah.
Itulah hakikat Rasul diutuskan. Itulah contoh yang terbesar.
Hasilnya, dengan kurniaan Allah S.W.T. jua, Rasulullah S.A.W. telah berjaya mengubah corak hidup manusia yang serba pincang kepada corak hidup yang sempurna, aman, damai, bahagia dan bercahaya di bawah sistem yang ditanzilkan Allah S.W.T. Akhlak dan keperibadian Rasulullah S.A.W. memainkan peranan utama dalam perlaksanaan tanggungjawabnya. Firman Allah S.W.T.:
“Adalah pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagi sesiapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah dan Hari Akhirat, dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya”.(Al Ahzab : 21)
Peranan kita masakini.
Dalam rangka mencontohi Rasulullah S.A.W., peranan kita kini ialah melaksanakan da’wah kepada Allah S.W.T. kemudian berusaha membentuk ummah.
Setiap individu muslim wajib melaksanakan tugas ini mengikut kemampuan dan keahlian masing-masing. Al Qur’an sangat menuntut kita agar melaksanakan kewajipan tersebut. Firman Allah S.W.T.:
“Orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan setengahnya
mereka menjadi pembantu kepada setengah yang lain, mereka bersama-sama
menyuruh ke arah kebaikan dan melarang daripada kemungkaran.”
(At-Taubah: 71)
Kewajipan itu tidak akan gugur ke atas setiap muslim selagi mana sistem Ilahi tidak terlaksana Di bumi. Selagi mana kemungkaran menodai syari’at Allah S.W.T. sewenang-wenangnya dan selagi mana bumi Allah S.W.T. tidak dapat dimakmurkan dengan amalan-amalan soleh maka selagi itulah kewajipan itu mesti dilaksanakan.
Umat Islam Kehilangan Contoh Yang Agong Dari Rasulullah S.A.W.
Umat Islam kini diselubungi jahiliyyah sebagaimana berlaku di zaman permulaan da’wah Islamiyyah dahulu. Jahiliyyah sudah menyerap ke dalam hati nurani, fikiran, perasaan, tindakan dan akhlak orang-orang Islam sendiri. Ini menyebabkan seolah-olah orang-orang Islam telah kembali ke zaman Jahiliyyah.
Mujahid terkenal zaman ini, Sa’id Hawwa, dalam bukunya Jundullah Thaqafatan Wa Akhlaqan, menerangkan tentang fenomena (irtidad) kembali ke zaman jahiliyyah telah berlaku di kalangan orang-orang Islam sendiri.
Asy-Syahid Sayyid Qutb pula menegaskan bahawa di zaman ini terdapat kalangan mereka yang mengakui keagungan Allah S.W.T., sekaligus mengakui pula kekuasaan dan kemampuan manusia seolah-olah Allah S.W.T. dan manusia bersaing hebat berlumba-lumba mencapai kebebasan di alam ini.
Inilah antara ciri-ciri jahiliyyah yang telah meresapi jiwa, perasaan, pemikiran dan perilaku orang-orang Islam. Hal ini akan berlanjutan kiranya kita tidak berusaha untuk mengembalikan hakikat yang hilang daripada kita dan orang-orang Islam. Antara kehilangan yang besar pada hari ini ialah kehilangan contoh tauladan Rasulullah S.A.W. Contoh yang agung, lengkap dan merangkumi semua ruang lingkup kehidupan.
Uslub yang mencontohi Rasulullah S.A.W.
Di kalangan umat Islam terdapat mereka yang menyedari akan hakikat jahiliyyah yang menguasai dunia. Justeru itu, samada di dunia Islam atau di dunia bukan Islam, telah timbul berbagai-bagai gerakan Islam. Kebangkitan ini lahir daripada kesedaran bahawa umat Islam mesti berperanan dalam kepimpinan untuk menegakkan penyelesaian yang adil bagi menghadapi permasalahan atau krisis hidup manusia yang kian meruncing akibat ketidaksempurnaan sistem ciptaan manusia.
Kebangkitan gerakan-gerakan Islam itu amat membanggakan. Namun apa yang menjadi tanda tanya ialah tentang uslub yang digunakan. Adakah gerakan-gerakan itu berpandukan kepada uslub yang telah dilalui Rasulullah S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda r.a.? Uslub ini telah membawa Rasulullah S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda r.a. mencapai kejayaan yang paling besar di sisi Allah S.W.T.
Mujahid Fathi Yakan menjelaskan bahawa uslub gerakan Islam adalah suatu yang susah ialah wujudnya berbagai-bagai aliran, khususnya, aliran-aliran yang menekankan aspek tertentu (yang juz’i) tanpa menekan sifat-sifat takamul (kesyumulan Islam) yang sebanarnya. Penekanan secara juz’i cepat sekali berkembang. Sebenarnya amal juz’i adalah amal yang senang dan cepat berkembang, tetapi cepat pula gagal apabila menempuh suasana yang menekan. ‘Amal Kulli, ‘Amal Islam yang Kamil, ‘Amal yang Mutawazin dan menyeluruh berlandaskan contoh kepimpinan Rasulullah S.A.W. merupakan ‘amal yang agak lambat berkembang dan sukar mendapat sambutan yang besar. Ini kerana ia melalui proses yang terperinci berserta matlamat yang besar untuk mengubah secara keseluruhan, bukan untuk menampung mana-mana yang bocor dan berlubang.
Natijah Kepimpinan Dan Contoh Rasulullah S.A.W.
Kepimpinan dan contoh yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. telah memperlihatkan ‘Amal Kulli dan Mutawazin. Amal yang merangkumi semua aspek kehidupan baik dari sudut fikri mahu pun dari sudut siasi. Natijahnya, lahirlah satu ummah yang terpimpin dengan roh al-Quran. Al Qur’an sentiasa mengalir di dalam jiwa-jiwa mereka dan memimpin hati-hati mereka hingga tunduk dan patuh kepada Allah S.W.T. dan rasulNya sahaja. Natijahnya juga, mereka tidak memilih nilai-nilai yang lain selain daripada nilai yang telah diajar oleh Rasulullah S.A.W.. Mereka telah mempersaksikan keperibadian yang agung dan tinggi hingga keperibadian itu tidak terjejas apabila bertembung dengan berbagai-bagai suasana. Mereka tetap beradab dengan Allah S.W.T. dan Rasul-Nya samada sewaktu senang atau susah, aman atau damai, bahkan dalam suasana perang dan genting. Contohnya dalam satu peperangan Allah S.W.T. menceritakan keadaan mereka:
“Tiada do’a mereka selain daripada ucapan: Ya Rab kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan yang berlebih-lebihan, tetaplah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir.”(Ali Imran: 147)
Betapa tinggi adab mereka dengan Allah S.W.T.. Mereka tidak meminta sedikit pun nikmat kesenangan pahala dan balasan dunia. Mereka hanya meminta supaya Allah S.W.T. mengampunkan dosa-dosa mereka dan menetapkan pendirian mereka serta memberi pertolongan ke atas meraka terhadap orang-orang kafir. Tindakan mereka itu menterjemahkan keyakinan mereka kepada pimpinan Rasulullah S.A.W. Mereka mengambil Rasul sebagai contoh untuk membentuk keperibadian mereka sendiri.
Tuntutan Beriman Kepada Rasulullah S.A.W.
Apabila kita beriman kepada Rasulullah S.A.W, wajiblah kita tunduk dan patuh kepada apa yang dibawanya dan menjauhi apa yang dilarangnya tanpa merasa tertekan, malu, segan, berat atau susah. Juga tanpa mempertimbangkan samada sesuai atau pun tidak sesuai. Jika kita ragu, membantah dan melaksanakan sebahagian sahaja suruhan Rasulullah SAW, maka keadaan ini sudah tentu berlawanan dengan keimanan, ikrar, janji dan bai’ah kita kepadanya. Sesungguhnya keimanan kepada Rasulullah SAW menuntut kita taat, patuh dan mencontohi contoh teladannya yang mulia. Firman Allah SWT:
“Dan taatilah Allah dan Rasul agar kamu diberi rahmat.”(Ali ‘Imran: 132)
“Katakanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampun dosa-dosa kamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”(Ali ‘Imran: 31)
Jalan untuk mencintai Allah SWT ialah mengikuti Rasulullah SAW dengan penuh rela dan patuh seikhlas hati. Juga mencintai Rasulullah SAW lebih daripada diri sendiri, anak-anak, harta benda dan manusia seluruhnya.
Kecintaan kepada Rasulullah S.A.W. mestilah diterjemahkan dalam setiap gerak geri dan tingkah laku yang mengikuti apa yang disukai Rasulullah SAW dan menjauhi apa yang tidak disukainya.
Generasi Islam Pertama Juga Contoh Kita.
Generasi Islam pertama juga merupakan contoh kita. Mereka telah dididik dan dipimpin oleh baginda yang melalui proses tarbiyyah yang tersusun rapi. Pada diri mereka telah lahir contoh yang sempurna dalam segala bidang kehidupan, baik dari segi fikri mahu pun dari segi siasi. Contoh yang syumul jelas nampak dalam hidup mereka.
Mereka yakin kepada pimpinan Rasulullah S.A.W dan bercontohkan keperibadian baginda sepenuhnya. Mereka hidup dalam suasana aman, damai, berbahagia dan mendapat ‘nur’ yang terpancar dari sinar al-Quran yang menjadi dustur hidup mereka.
Pendekatan mereka kepada al-Qur’an bukanlah semata-mata untuk mempelajari, membaca dan menggali rahsia-rahsianya tanpa menyedari tuntutan sebenar iaitu menghayatinya dalam kehidupan dan memikul amanah Allah S.W.T. yang besar di bumi.
Al-Qur’an membimbing dan melengkapkan hidup mereka dengan akhlak yang mulia. Seluruh pemikiran dan tindakan dibimbing supaya tidak melewati batas-batas Allah S.W.T.
Penutup
Tuntutan kefahaman terhadap kerasulan Muhammad S.A.W. dan keimanan kepadanya ialah mencontohi dan mengikuti kepemimpinannya. Seandainya umat Islam tidak kembali kepada hakikat ini, umat Islam akan terus menjadi seperti buih di permukaan air. Umat Islam tidak akan menjadi arus yang kuat untuk menumpaskan jahiliyyah.