APAKAH ISLAM TABIATNYA BERMUSUHAN?

        Sekali imbas kelihatan kenyataan ini benar. Tapi apakah Allah
        S.W.T yang menurunkan ajaran ini telah membentuknya dengan
        sedemikian rupa?  Atau memang dikehendaki Allah, Penciptanya agar Islam ini sepanjang masa, berseteru dengan ajaran-ajaran lain?

        Tetapi yang jelas ajaran Islam memang bercanggahan dalam beberapa
        sudut sahaja, malah Islam sememangnya tidak ada titik pertemuan langsung di dalam ajaran dasarnya dengan agama-agama lain, terutamanya apa yang dikenal sebagai persoalan aqidah.

        Sebelum kita membicarakan tajuk ini dengan lebih jauh, terlebih dahulu harus kita peringatkan diri kita bahawa percanggahan ini bukanlah sengaja dibentuk oleh Islam atau dalam erti kata yang lain Allah S.W.T sengaja membentuk dan menurunkan agama ini supaya ia bercanggahan dengan agama-agama lain, tetapi yang sebenarnya agama-agama lainlah yang mencanggahi ajaran Islam, sekaligus mencanggahi kehendak Allah S.W.T. Kerana ajaran agama-agama lain adalah dibentuk oleh pemikiran manusia, yang bercampur aduk dengan khurafat, dongeng, warisan pusaka amalan nenek moyang terdahulu selain dari kemuslihatan peribadi individu atau kelompok dan kasta tertentu.

        Lebih tepat lagi, bahawa agama Islam adalah agama pokok dan asal kejadian alam ini sedangkan agama-agama lain tidak lebih dari pendatang tanpa izin hasil dari cetusan fikiran manusia. Islam dan pemeluknya sekali-kali tidak menganggap bukan Muslim itu sebagai musuhnya.
        Kenyataan ini dapat dibuktikan melalui sirah Rasulullah SAW dan sejarah perkembangan Islam.  Malah kehendak Islam itu sendiri menghendaki agar penganut agama lain wajib diberi bimbingan dan petunjuk agar mereka semua bebas dari belenggu alam kegelapan kepada alam cahaya dan kebebasan yang sejati.  Adapun laungan yang mengatakan Islam berkembang dengan mata pedang tidak lebih daripada laungan kaum orientalis yang menjadi tentera upahan kepada kaum penjajah Barat.

        Islam yang disifatkan sebagai rahmat kepada sekelian alam oleh Allah melalui pengutusan rasul utusan-Nya, adalah rawatan kepada permasalahan dan penyakit kronik di dalam masyarakat jahiliah dan sekaligus sebagai penyelamat umat manusia di dunia ini dari bencana dan kemusnahan hasil ciptaan mereka sendiri dan dari bala kemurkaan Allah di dunia ini mahupun di akhirat.

        Adapun perseteruan yang diperlihatkan oleh Barat hari ini bukanlah datangnya daripada Islam atau pemeluknya malah kalau diteliti, umat Islamlah golongan yang paling lemah berbanding dengan bangsa-bangsa yang lain.  Di dalam keletihan dan kelesuannya ini, bangsa Barat secara khususnya tidak henti-henti mengganyang umat Islam di mana-mana sahaja, hingga melewati batas-batas perikemanusiaan, tanpa mengambil kira apakah mereka itu pernah mencabar kekuatan Barat ataupun tidak.
        Di sini, kita cuba membentang beberapa motif perseteruan bangsa Barat terhadap Islam.

        Pertama:
        Pihak Barat sudah lama menyedari bahawa di sana tidak ada satu ajaran pun yang bertentangan dengan ajarannya selain daripada Islam biarpun ajaran itu bernama komunis, kerana komunis tidak lebih daripada satu ajaran yang direkacipta oleh akal manusia sendiri.

        Kedua:
        Pihak Barat menyedari pada masa mereka melakukan penganiyaan dan kezaliman, tidak ada satupun ajaran yang berani dan mampu mencabar kezaliman tersebut selain daripada Islam.

        Ketiga:
        Tidak ada satu ajaran pun di muka bumi ini yang mampu mengemukakan perancangan pembentukan semula dan gagasan tamadun untuk umat selain daripada Islam yang kaya dengan khazanah ilmu dan budaya yang ditinggalkan dan pihak penjajah Barat berasakan bahawa hal ini boleh mengancam kewibawaan mereka.

        Keempat:
        Pemeluk-pemeluk Islam sama sekali tidak akan tunduk dan patuh kepada arahan manusia.  Satu ajaran yang membentuk penganut-penganutnya supaya hanya tunduk kepada perintah Allah sahaja. Ini menjadikan kaum muslimin tidak boleh diperhambakan dan dicucuk hidung serta ditonton seperti seekor lembu ke tempat penyembelihan.  Sikap dan aqidah seperti ini menghalang penjajah Barat dari menguasai kaum Muslimin sepenuhnya.

        Golongan yang memusuhi Islam tetap berusaha sedaya upaya mereka untuk menghapus dan menghalang kewujudan Islam. Biar serendah mana pegangan seseorang Muslim itu dengan ajaran Islam, namun kebencian dan perseteruan pasti membara di dalam dendam kesumat mereka.  Hal ini harus disedari oleh setiap Muslim dan kebenaran hakikat ini telahpun diperingatkan oleh Allah di dalam al Quran yang bermaksud:

        "Kaum Yahudi dan Nasrani itu tidak akan redha kepada engkau kecuali setelah engkau mengikuti agama mereka". (AI Baqarah: 120)