Tajuk di atas sebenarnya adalah sangat besar dan luas untuk diperbincangkan, tetapi apa yang akan kita bentangkan di sini hanyalah sekadar gambaran sahaja yang mana mudah-mudahan ianya dapat kita manfaatkan bersama ke arah kebaikan dan seterusnya ke arah penghayatan Islam yang sebenarnya di dalam kehidupan kita.
Diantara tuntutan-tuntutan Islam ke atas kita ialah ;
1. ISLAM DALAM AQIDAH KITA - yakni Aqidah Salimah Sahihah yang bertepatan sebagaimana yang dianjurkan oleh Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Aqidah yang benar dan sah adalah menjadi syarat pertama kepada pengakuan sesaorang yang telah menerima Islam sebagai agama yang mengatur hidupnya. Kita hendaklah beriman dan mempercayai perkara-perkara yang diimani dan dipercayai oleh para sahabat nabi SAW, generasai pertama Islam (as sabiquunal awwaluun) yang telah terbukti kebajikan, ketaqwaan dan kefahaman mereka yang tepat dan benar terhadap Islam.
Untuk menjadikan aqidah kita aqidah yang benar-benar diiktiraf sebagai aqidah seorang muslim, perlulah kita meyakini bahawa pencipta alam sejagat ini ialah Allah Yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan pertolongan orang lain. Kita perlu meyakini bahawa Allah tidak menciptakan alam ini termasuk semua makhluk yang ada di dalamnya tanpa sebarang tujuan tertentu ataupun untuk bermain-main. Kita juga perlulah meyakini bahawa Allah telah mengutuskan para Rasul dan menurunkan kitabNya adalah untuk tujuan mengajar manusia mengenal Allah dan memberitahu mereka tentang matlamat kewujudan mereka didunia ini dan ke manakah akhirnya kehidupan mereka kelak. Kita perlu meyakini bahawa matlamat kehidupan manusia didunia ini ialah untuk mengenal Allah SWT dengan sifat-sifat uluhiah dan rububiahNya, taat dan mengabdikan diri kepadanya selaras dengan apa yang di jelaskan dalam firman Allah yang bermaksud;
“dan Aku (Allah SWT) tidak menciptakan jin
dan
manusia melainkan supaya mereka menyembahKu”
Kita juga perlulah meyakini bahawa syurga adalah balasan dan ganjaran bagi mukmin yang taat manakala siksaan yang pedeh dan azab api neraka adalah balasan bagi orang-orang yang kafir. Kita juga perlu yakin bahawa penciptaan dan penggubalan undang-undang adalah hak mutlak Allah SWT dan ini bererti kita sebagai manusia tidak boleh melewati dan melanggar undang-undang Allah SWT atau dalam ertikata yang lain membuat dan menggubal undang-undang yang berdasarkan akal fikiran kita sendiri.
Seterusnya kita hendaklah mengabdikan diri hanya kepada Allah dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu yang lain. Hendaklah kita merasa takut kepada Allah semata-mata dan tidak takut kepada yang selain daripadaNya. Dan ketakutan kita kepada Allah seharusnyalah menjadi pendorong untuk kita menjauhkan diri dari perkara-perkara yang dimurkai dan diharamkan oleh Allah SWT. Kita juga mestilah sentiasa menginagati Allah SWT dalam apa jua suasana dan mestilah mencintai Allah SWT lebih daripada kecintaan terhadap perkara-perkara yang lain.
Firman Allah SWT; maksudnya;
“Katakanlah jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara,
isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan
yang kamu kuatiri kerugiaannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu
sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan dari berjihad
dijalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya dan Allah
tidak memberi petunjuk
kepada orang-orang fasik”(9:24)
Sebelum dan selepas kita melakukan sesuatu kita
perlulah bertawakkal kepada Allah SWT dan kita bertawakkal ini hendaklah
dalam semua urusan dan perkara. Disamping itu hendaklah kita banyak bersyukur
terhadap nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita dan hendaklah kita sentiasa
memohon ampon kepada Allah SWT dan bertaubat kepadaNya kerana taubat itu
merupakan kifarat bagi segala kesalahan disamping menjadi penenang hati
bagi mereka-mereka yang insaf dan sedar.Dan akhir sekali untuk kita memperolehi
aqidah yang benar perlulah kita sentiasa di dalam keadaan bermurakabah
terhadap Allah SWT (merasai bahawa Allah melihat, mendengar dan mengetahui
apa yang kita lakukan) baik dalam keadaan terang ataupun tersembunyi.
2. ISLAM DI DALAM IBADAH KITA. - Ibadah dalam Islam adalah merupakan kemuncak kepatuhan dan ketundukan sesaorang hamba kepada Allah SWT dan kelaimik dari perasaan yang merasakan akan kebesaran Allah sebagai tempat untuk mengabdikan diri. Ibadah juga merupakan tangga penyambung diantara makhluk dan penciptanya. Selain daripada ibadah mempunyai kesan-kesan yang mendalam disudut hubungan antara makhluk dan penciptanya.
Sesungguhnya Islam menuntut supaya seluruh kehidupan ini hendaklah berjalan di dalam rangka ibadat dan taat hanya kepada Allah SWT. Inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT;
“Dan Aku tidak menciptakan jin
dan manusia
melainkan supaya mereka menyembahKu”(51:56)
Oleh itu untuk menjadikan ibadah kita keseluruhannya di dalam rangka mengabdikan diri kepada Allah maka perlulah kita berhubung terus dengan Allah SWT dalam apa jua perkara yang hendak kita lakukan. Kita sentiasa menghubungkan hati kita dengan Allah SWT sehingga dapat kita merasakan apa yang disebut sebagai ‘Ehsan’yakni kita melakukan ibadah kepada Allah seolah-olah kita melihatNya dan kalau kita tidak melihatNya maka kita yakin bahawa Allah melihat apa yang kita perbuat. Ibadah yang kita lakukan hendaklah benar-benar khusyuk sehingga dapat kita merasakan kepanasan hubungan kita dengan Allah SWT dan merasakan akan kepuasan dan kelazatan dari ibadah yang kita kerjakan itu.
Sewaktu kita melakukan ibadah hendaklah kita benar-benar menghadirkan diri dan hati kita dihadapan Allah SWT. Maknanya kita perlulah membebaskan diri kita dari sebarang urusan dan kepentingan dunia. Inilah yang disebut oleh nabi SAW dalam sepotong hadis yang bermaksud ;
“Allah tidak akan melihat solat
lelaki yang
tidak menghadirkan hatinya bersama badannya”
Sehubungan dengan ini telah disebutkan juga bahawa “Solat itu merupakan sebahagian daripada urusan akhirat,apabila kamu masuk ke dalamnya bererti kamu telah keluar dari dunia”.
Diriwayatkan juga bahwa Hasan Al-Basri pernah berkata,”Setiap solat yang dilakukan tanpa kehadiran hati maka solat itu adalah lebih cepat membawa kepada siksaan”.
Dalam melakukan ibadah kita hendaklah merasa tamak yakni tidak cukup dengan apa yang telah kita lakukan. Kita akan sentiasa berusaha untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan melakukan ibadat-ibadat sunat seperti melakukan qiamul-lail ( bangun sembahyang diwaktu malam ) dan sebagainya. Sesungguhnya qiamul-lail adalah merupakan perkara yang paling kuat yang dapat memelihara iman kita. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Muzammil ayat 6 ; maksudnya;
“Sesungguhnya bangun diwaktu malam adalah lebih
tepat (untuk khusyuk)
dan bacaan diwaktu itu adalah lebih berkesan”
Kita juga haruslah menentukan masa-masa tertentu untuk membaca dan mengamati Al-Quran terutamanya diwaktu fajar kerana bacaan diwaktu itu adalah disaksikan oleh para malaikat. Seterusnya apabila kita membaca Al-Quran hendaklah dengan penuh tadabbur (penuh perhatian), kita berfikir untuk memahamkan isi kandungannya dan kalau boleh jiwa kita hendaklah merasa sensitif disamping merasa dukacita kerana Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud;
“Sesungguhnya Al-Quran itu di turunkan dengan dukacita , oleh itu apabila kamu membacanya hendaklah kamu merasa dukacita”.
Selain daripada itu kita juga hendaklah tidak lupa berdoa kepada Allah SWT di dalam apa jua urusan dan perkara yang hendak kita kerjakan kerana doa adalah otak bagi segala ibadat. Dan dalam melakukan doa ini pula hendaklah kita memilih doa-doa yang maasur yakni doa-doa yang telah diwariskan kepada kita oleh Rasulullah SAW yang kita yakini akan dimakbulkan oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya yang bermaksud;
“Mintalah padaKu, niscaya akan Ku perkenankan (permintaan)mu”.
3. ISLAM DISUDUT AKHLAK DAN KEPERIBADIAN.-
Akhlak yang mulia adalah merupakan matlamat asasi bagi risalah Islam. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud;
“Sesungguhnya aku diutuskan
hanyalah untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia”
Akhlak yang mulia juga merupakan natijah dan tanda dari iman yang sebenar. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak yang mulia. Pernah Rasulullah SAW ditanya oleh seorang sahabat,”Apakah deen itu?”. Lantas baginda menjawab dengan sabdanya,”(Deen itu) adalah akhlak yang baik”.
Akhlak juga merupakan amal yang paling berat yang akan diletakkan dalam neraca hamba pada hari kiamat kelak. Maka sesiapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalannya tidak akan dipercepatkan hisabnya. Dalam Islam akhlak adalah merupakan intipati bagi segala ibadat. Tanpa akhlak ibadat hanyalah merupakan adat resam dan gerak-laku yang tidak mempunyai apa-apa nilai dan faedah. Berhubung dengan solat umpamanya, Allah telah berfirman yang bermaksud;
“Sesungguhnya solat itu mencegah daripada
perkara jahat dan mungkar”. ( 29 : 45 ).
Daripada ayat ini dapatlah kita fahami bahawa sesaorang yang mendirikan solat sudah tentulah tidak melakukan perkara-perkara fasad dan mungkar yang mana ini akan meletakkannya sebagai seorang yang memiliki keperibadian Islam yang sebenar dan berakhlak mulia. Tetapi sebaliknya kalau kita lihat pada realiti yang berlaku hari ini ada sebahagian umat Islam yang mendirikan solat tetapi tidak mendapat apa-apa nilai dan faedah disisi Allah sedikitpun kerana solat mereka bukan untuk melahirkan akhlak yang mulia serta meninggalkan perkara-perkara yang mungkar sebaliknya solat mereka itu hanyalah sekadar nak menutupi kederhakaan mereka terhadap Allah SWT daripada mata masyarakat.Jadi inilah waki’(satu kenyataan) yang berlaku dalam kebanyakan masyarakat Islam pada hari ini yang memerlukan kepada proses pembersihan dan pengislahan yang bukan sedikit.
Pembersihan dan pengislahan ini tidak akan terlaksana kecuali dengan mereka kembali menghiaskan diri mereka dengan sifat-sifat ataupun Syaksiah Islam yang sebenarnya bermula dengan menanggal dan menukarkan sifat dan akhlak yang tercela kepada sifat dan akhlak yang terpuji dan mulia. Dan di antara sifat atau akhlak yang terpuji dan mulia itu ialah bersifat wara’, sentiasa menundukkan pandangan dari perkara-perkara yang haram, memelihara lidah dari berkata-kata tentang perkara-perkara yang tidak berfaedah dan membawa kepada dosa, bersifat malu sekiranya tidak melaksanakan perintah Allah bukan kepada manusia malah yang lebih utama untuk rasa malu ialah kepada Allah SWT,lemah-lembut dan penyabar, bersifat benar,amanah dan jujur,tawaduk (merendah diri) terutamanya kepada orang-orang yang beriman,menjauhi perbuatan buruk sangka,mengumpat dan sebagainya, bersifat pemurah dan lain-lain lagi.
4. ISLAM DI DALAM AHLI DAN KELUARGA. - Apabila kita mengakui menganut agama Islam, pengakuan ini mewajibkan kita mendukung satu risalah dalam hidup ini malah menjadikan seluruh hidup kita ini adalah untuk tunduk dan patuh kepada arahan risalah tersebut.
Kalau tadi Islam menuntut ke atas kita supaya muslim disudut aqidah, ibadah dan akhlak maka kali ini ianya menuntut pula agar kita bekerja bersungguh-sungguh untuk merubah masyarakat di mana kita berada supaya menjadi masyarakat Islam ataupun mukmin yang sebenarnya.
Tidaklah memadai dengan kita menjadi muslim seorang diri sahaja tanpa mengambil berat tentang orang-orang yang ada disekeliling kita. Ini adalah kerana diantara kesan-kesan yang ditiupkan oleh Islam dan diresapkannya ke dalam hati sesaorang yang telah beriman ialah rasa mas’uliah (perasaan bertanggungjawab) terhadap orang lain yakni untuk menyeru dan menasihati mereka agar kembali kepangkuan Allah SWT dengan menghayati ajaran Islam yang syumul dan menyeluruh yang bersih daripada suasana campur-aduk. Ini bermakna kita dikehendaki mengambil tahu akan realiti umat Islam yang ada disekeliling kita disamping mengajak mereka untuk bersama-sama menterjemahkan ajaran Islam ini di dalam realiti kehidupan. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud;
“Barang siapa yang tidur dan tidak mengambil tahuat aupun mengambil berat tentang urusan orang-orang Islam,maka dia bukanlah golongan mereka (golongan orang-orang Islam)”.
Bertolak dari keadaan ini bermakna kita telah mempunyai satu tanggungjawab yang baru, iaitu tanggungjawab untuk menegakkan sebuah Masyarakat Islam dan tanggungjawab untuk menyampaikan Islam kepada masyarakat.
Jadi langkah pertama kita ke arah itu ialah dengan kita membentuk rumahtangga kita terlebih dahulu agar menjadi sebuah Rumahtangga Muslim. Kita bertanggungjawab untuk menegakkan Islam ini terlebih dahulu di dalam masyarakat rumahtangga yakni keluarga kita yang kecil itu. Kita sampaikan Islam kepada mereka, ibu-bapa kita adik-beradik, saudara-saudara kita dan anak-isteri kita (bagi yang sudah berkahwin) yang mana inilah cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW diperingkat permulaan dakwah.
Tugas dan tanggungjawab kita sebagai muslim tidaklah terhad hanya cukup sekadar kita menjadi muslim tetapi ianya adalah lebih daripada itu. Maknanya di sini sesudah kita menunaikan tanggungjawab terhadap diri kita maka kita bertanggungjawab pula menyebarkan Islam ini di dalam keluarga, rumah dan anak-anak kita.
Firman Allah SWT dalam Surah At-Tahrim ayat 66 yang bermaksud;
“Wahai orang-orangyang beriman,peliharalah
dirimu dan keluargamu dari api neraka”.
Untuk membantu usaha-usaha kita agar dapat memenuhi tuntutan Islam di dalam rumahtangga dan keluarga maka Islam telah menunjukkan kepada kita wasilah ataupun jalan-jalan yang insyaAllah akan menyampaikan kita kepada tuntutan tersebut.Diantaranya ialah apabila kita hendak mendirikan rumahtangga maka hendaklah terlebih dahulu ianya di niatkan kerana Allah SWT. Kita berkahwin bukan untuk berseronok-seronok tetapi dengan tujuan untuk membina sebuah rumahtangga Muslim yang bakal melahirkan keturunan yang soleh yang sanggup memikul amanah dan meneruskan risalah Islam yang telah ditinggalkan kepada kita oleh Ar-Rasul Muhammad SAW.
Selain daripada itu kita berkahwin adalah dengan tujuan supaya dapat menjaga pandangan dan kehormatan kita agar dengan itu membolehkan kita untuk lebih bertaqwa kepada Allah SWT.Dalam hubungan ini Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya;
“Allah SWT berhak menolong tiga
golongan ;
orang yang berjihad pada
jalan Allah SWT
hamba mukatab yang ingin
membayar harga tebusannya
dan orang-orang yang berkahwin dengan tujuan
untuk dapat memelihara
kehormatan dirinya”.
“Sesiapa yang berkahwin bererti beliau telah
menyempurnakan sebahagian dari agamanya dan
hendaklah beliau bertaqwa kepada Allah
SWT
pada sebahagian yang lain yang masih
belum
disempurnakan”.
Isteri ataupun bakal suami yang akan dijadikan
rakan perkongsian hidup kita mestilah yang mempunyai akhlak dan berpegang
teguh dengan agama. Maknanya disini bakal isteri ataupun suami yang hendak
dikahwini mestilah yang mempunyai deen,sekalipun tidak mempunyai harta
dan kecantikan jika dibandingkan dengan yang lain. Dalam hal ini Rasulullah
SAW telah bersabda yang maksudnya;
“Janganlah kamu mengahwini perempuan
kerana
kecantikannya. Boleh jadi kecantikan mereka
akan menjadikan mereka hina. Janganlah kamu
mengahwini perempuan kerana harta
mereka,
kerana boleh jadi
harta mereka akan
menjadikan mereka bersikap
zalim, tetapi
kahwinilah meReka kerana agamanya”.
Apabila kita telah mendirikan rumahtangga perkara utama yang perlu dijaga oleh kedua suami-isteri ialah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang bercanggah dengan syara’ serta berusaha menjauhi kemurkaan dan azab Allah SWT. Ini adalah kerana setelah berumahtangga kita mempunyai satu tanggungjawab lain yakni tanggungjawab untuk mendidik anak-anak sekirannya dikurnia oleh Allah SWT cahaya mata yang mana tanggungjawab ini tentulah tidak akan dapat kita laksanakan dengan baik melainkan dengan jalan kita menjauhkan diri dari perkara-perkara yang ditegah dan melaksanakan perkara-perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT.Apabila perkara ini dapat kita pelihara dengan baik dan berjalan dalam suasana rumahtangga kita maka insyaAllah akan lahirlah di dalam rumahtangga kita itu hubungan kasih sayang yang kerdasarkan aqidah serta persefahaman di dalam pemikiran,jiwa dan perasaan.
Pada hakikatnya kejayaan di dalam perkahwinan kita adalah bergantung kepada sejauhmana kita mampu memelihara perkara-perkara yang syara’,menghayati ajaran Islam dalam ertikata yang menyeluruh serta menunaikan tanggungjawab di dalam rumahtangga yang mana termasuklah di dalamnya tanggungjawab mendidik anak-anak dengan pendidikan Islam yang sebenarnya. Anak-anak itu sebagaimana sabda Rasulullah SAW , dilahirkan dalam keadaan fitrah(suci bersih). Jadi kitalah, kedua ibubapanya yang akan mencorakkan anak tersebut samada dengan corak yang baik ataupun sebaliknya.
Apabila anak-anak mendapat tarbiah(didikan) yang baik maka insyaAllah dia akan menjadi anak yang soleh, tetapi seandainya dia tidak diberikan tarbiah yang betul maka akan berlakulah sebagaimana yang boleh kita lihat pada hari ini dimana anak-anak tidak menghormati kedua ibubapanya malah ada yang apabila dewasa tidak langsung menghiraukan kedua ibu-bapanya.
Oleh kerana itu Islam amat memandang berat terhadap
aspek pendidikan anak-anak dan amat berharap agar kedua ibu-bapa dapat
menyediakan segala bentuk, sebab-sebab, jalan-jalan dan juga suasana yang
boleh membawa kepada keberkesanan tarbiah yang baik terhadap anak-anak
mereka. Perlulah dirasai bahawa kewajipan untuk mendidik anak-anak ini
sebenarnya adalah merupakan satu kewajipan yang amat besar nilainya disisi
Allah SWT jika ianya dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan rasa tanggungjawab.
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya;
“Mendidik anak-anak adalah lebih baik bagi
sesaorang
itu daripada bersedekah secupak”
“Apabila seorang anak Adam itu meninggal maka
terputus semua amalan-nya
kecuali tiga perkara;Sadakah Jariah,
Ilmu Yang Memberi Manfaat dan Anak
Yang Soleh Yang Berdoa Untuk-Nya”.
5. SENTIASA BERJIHAD MELAWAN HAWANAFSU.
Setiap Muslim perlulah berusaha untuk membebaskan dirinya dari bertuhankan hawanafsu kerana Allah telah mengingatkan kita di-dalam firman-Nya yang bermaksud;
“Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan”.(Yusuf : 53)
“Dan janganlah kamu turuti hawanafsu
kerana nanti ia akan menyesatkan kamu
dari jalan Allah”. (Shad : 26)
Jadi jelaslah kepada kita bahawa menuruti atau bertuhankan hawanafsu adalah penyebab kepada segala kejahatan yang akan menyesatkan manusia dari jalan yang haq.
Oleh yang demikian kita sebagai Muslim Mukmin hendaklah mengutamakan jihad terhadap hawanafsu terlebih dahulu sebelum daripada berjihad terhadap perkara-perkara yang lain. Sabda Rasulullah SAW; maksudnya;
“Seutama-utama jihad ialah jihad orang yang
berjihad terhadap hawanafsu-nya
dalam mentaati Allah Azzawajalla”.
Jihad terhadap hawanafsu merupakan jalan yang paling baik untuk menghindarkan sesaorang daripada melakukan kejahatan dan juga perkara-perkara yang ditegah oleh Allah SWT. Namun demikian sebagai manusia kita juga tidak sunyi daripada melakukan dosa dan kesalahan. Dan hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW di dalam sepotong hadis yang bermaksud;
“Tiap-tiap anak Adam itu(manusia),akan
melakukan kesalahan dan sebaik-baik
orang yang bersalah ialah mereka yang
segera bertaubat kepada Allah SWT”.
Jadi orang-orang mukmin apabila dia melakukan kesalahan maka dia akan segera bertaubat dan memohon ampon kepada Allah SWT. Mereka ingat kepada Allah SWT dan menyedari akan hakikat bahawa hanya Allahlah sahaja yang dapat mengamponkan dosa dan kesalahan mereka.Sikap mukmin yang demikian telahpun digambarkan di dalam Al-Quran; Surah Ali-Imran :135, maksudnya;
“Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri,mereka ingat akan Allah SWT lalu memohon ampon terhadap dosa-dosa mereka Dan siapakah lagi yang dapat mengamponkan dosa selain daripada Allah ? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui”.
6. MEYAKINI AKAN KEBENARAN SISTEM ISLAM SELURUHNYA. - Setiap muslim perlulah mengetahui bahawa hanya Islamlah sahaja satu-satunya sistem yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia ciptaan Allah SWT ini. Allah yang menjadikan manusia(kita semua) maka Dialah yang lebih mengetahui tentang sistem hidup yang sesuai bagi kehidupan manusia. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Mulk ayat 14 yang bermaksud;
“Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui?, dan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui”.
7. WAJIB MENGHALAKAN SELURUH HIDUP UNTUK ISLAM.
Kita hendaklah bekerja kearah membina kehidupan Islam yang mana semua itu adalah dalam rangka untuk kita mencapai matlamat hidup yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud;
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu”.
8. BERUSAHA MEMBENTUK JAMAAH DAN MEMBINA DAULAH yang menjalankan syariat Allah dan menegakkan hukum-hukum Allah SWT. Sebarang kecuaian kita di dalam usaha-usaha ini ataupun kita meninggalkan usaha-usaha ini adalah dikira berdosa dan dimasukkan oleh Allah dalam golongan orang-orang yang kafir, zalim dan fasiq. FirmanNya di dalam Al-Quran Surah Al-Maidah ayat 44,45 dan 47 yang maksudnya secara ringkas berbunyi;
“Barangsiapa yang tidak berhukum
dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT, maka mereka
itulah orang-orang yang kafir,zalim dan fasiq
Wallahu A'lam.
Wabillahi taufiq wal hidayah,
Wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.