|
|
Pada bahagian awal ayat di atas, Allah menyuruh kita membelanjakan sebahagian harta pada jalan-Nya, tanpa rasa takut akan menjadi miskin atau mengalami kekurangan. Kerana kita menafkahkannya pada jalan Allah yang menjadi Pemilik alam semesta. Di tangan-Nya terletak segala perbendaharaan dan khazanah langit dan bumi. Dialah penguasa 'arasy yang agung. Apa sahaja yang kita nafkahkan di jalan-Nya, maka Allah yang akan menggantikannya, kerana Dialah sebaik- baik Pembalas dan Pemberi rezeki. Oleh itu janganlah takut mengalami kekurangan dalam berinfaq, kerana kita lebih patut untuk merasa aman dengan jaminan Allah berbanding apa yang ada di tangan kita sendiri. Sesungguhnya apa yang ada pada kita akan musnah sedangkan apa yang ada di sisi Allah akan kekal. Perasaan takut mengalami kekurangan dan menjadi miskin yang timbul di dalam diri kita itu sebenarnya adalah bisikan syaitan. Oleh itu, kita hendaklah lebih yakin dengan jaminan Allah yang menjanjikan keampunan dan balasan yang lebih baik. Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji-janji-Nya.
Pada bahagian kedua ayat di atas yang bermaksud “Tidak sama di antara kamu orang yang berinfaq dan berperang sebelum kemenangan (Penaklukan Makkah). Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang-orang yang berinfaq dan berperang sesudah itu”, Allah SWT meletakkan neraca dan nilai bahawa kedudukan orang-orang yang berjuang dan berkorban ketika dalam keadaan payah dan susah tidaklah sama dalam pandangan Allah dengan orang-orang yang berjuang dan berkorban setelah berlalu masa kepayahan dan kesusahan.
Dalam konteks ayat di atas, kedudukan para sahabat yang berjuang dan berkorban sebelum penaklukan Makkah jauh lebih tinggi daripada mereka yang berjuang dan berkorban selepas itu. Keadaan ini dapat difahami kerana perjuangan sebelum penaklukan Makkah adalah lebih berat dan lebih sukar. Jadi, mereka yang berjuang ketika itu adalah orang-orang yang benar imannya. Adapun selepas penaklukan Makkah, keadaan masyarakat ketika itu memeluk agama Allah secara berbondong-bondong.
Potongan ayat di atas juga mengisytiharkan supaya kita beradab terhadap orang-orang yang berjuang terlebih dahulu sebelum kita di jalan Allah dan tidak melupakan begitu sahaja jasa-jasa mereka. Kisah perselisihan antara Khalid bin Walid dengan Abdul Rahman bin Auf sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita. Kedua-duanya adalah sahabat Rasululllah SAW. Tetapi Abdul Rahman memeluk Islam dan berjuang di jalan Allah jauh lebih awal daripada Khalid. Abdul Rahman memeluk Islam pada tahap Makkah yang awal menerusi dakwah fardiyah yang dilakukan oleh Abu Bakar al-Siddiq, sedangkan Khalid memeluk Islam selepas perjanjian Hudaibiyah (sebelum penaklukan Makkah).
Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya menceritakan perbalahan antara Khalid dan Abdul Rahman terjadi selepas penaklukan Makkah. Ketika itu Rasullullah SAW mengutus Khalid untuk berjumpa Bani Jadzimah dan menawarkan mereka masuk Islam atau berperang. Jawapan yang diterimanya daripada Bani Jadzimah adalah “Soba’na, soba’na", bukan “aslamna” (soba’na dalam bahasa mereka bermakna “kami telah keluar dari agama kami dan masuk agama kamu” iaitu Islam). Atas alasan itu Khalid memerintahkan tentera Islam membunuh mereka, termasuk yang tertawan. Tetapi Abdul Rahman, Abdullah bin Umar dan beberapa sahabat lain tidak bersetuju dengan tindakan Khalid itu. Maka bertengkarlah Khalid dengan Abdul Rahman. Agaknya Khalid telah mengeluarkan kata-kata yang menyentuh hati Abdul Rahman. Ketika perkara itu dilaporkan kepada Rasululllah SAW, maka Rasululllah SAW berkata kepada Khalid, “Jangan kamu usik para sahabatku. Demi Allah yang jiwaku dalam tangan-Nya, sekiranya kamu menafkahkan emas sebesar bukit Uhud dan gunung seekalipun, ia belum dapat menyamai amal- amal mereka.”
Walaupun Khalid juga seorang sahabat Rasulullah SAW dan termasuk golongan sahabat yang telah masuk Islam dan berjuang sebelum penaklukan Makkah, ucapan Rasulullah kepada Khalid itu menunjukkan sahabat-sahabat yang berjuang lebih awal dan terdahulu tidaklah boleh diperlecehkan jasa-jasa mereka.
Hadith ini dan potongan ayat di atas menunjukkan darjat sahabat Rasulullah SAW tidaklah sama semuanya. Di antara mereka ada "al- Sabiquna al-Awwalun", "Muhajirun" dan "Ansar". Ada yang berjuang dan berinfaq selepas penaklukan Makkah dan ada juga golongan "al-tulaqa" iaitu golongan yang dibebaskan oleh Rasulullah SAW daripada hukuman bunuh. Darjat mereka tidaklah sama di sisi Allah. Walupun begitu mereka semua adalah sahabat Rasulullah SAW. Allah telah memuliakan mereka menjadi sahabat Rasulullah SAW dan Allah juga telah melebihkan mereka di atas kita dengan sebab persahabatan mereka dengan Rasulullah SAW. Oleh itu para ulamak hadith telah sepakat bahawa seluruh sahabat Rasulullah SAW adalah “udul” iaitu semua mereka adalah baik dan riwayat mereka dapat diterima. Kita tidak boleh jadi seperti golongan Rafidhah yang menolak sebahagian sahabat Rasulullah SAW, termasuk Abu Bakar, Umar, Uthman dan isteri-isteri Rasulullah SAW. Mereka membayangkan diri mereka sama taraf atau lebih tinggi darjatnya di sisi Allah berbanding para sahabat Rasulullah SAW. Jauh panggang daripada api !!!
Berkenaan dengan adab terhadap mereka yang berjuang atau beriman terlebih dahulu daripada kita, maka mereka yang terlibat dengan harakah dan dakwah Islamiah, terutama golongan pemuda, sudah sepatutnya menghormati para syuyukh dan pendahulu mereka. Para pemuda tidak boleh menganggap diri mereka sama taraf dengan orang yang telah menghabiskan usia untuk berjuang di jalan Allah, apatah lagi memperlecehkan dan memperkecilkan mereka. Para pemuda yang berada di atas jalan dakwah mestilah ingat bahawa belum tentu mereka dapat beristiqamah di atas jalan ini sehingga rambut mereka beruban. Kalau mereka sampai ke tahap itu, sudah tentu mereka juga tidak mahu diperlakukan dengan cara kurang hormat dan kurang adab oleh mereka yang lebih muda dan datang kemudian. Alangkah indahnya ketika Allah mengabadikan doa yang telah diucapkan oleh golongan yang datang kemudian selepas Muhajirin dan Ansar dengan kata mereka:
“Ya Allah, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang lebih dahulu beriman daripada kami, dan janganlah Engkau jadikan perasaan dengki di dalam hati kami tehadap orang-orang yang beriman. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hasyr: 10)
Ini adalah adab yang sepatutnya diteladani oleh mereka yang terlibat dengan harakah Islamiah.
Pada bahagian akhir ayat di atas, Allah berfirman yang bermaksud :
“Allah menjanjikan pada masing-masing mereka balasan yang terbaik.”
Ini menunjukkan bahawa mereka yang berjuang dan berinfaq sama ada sebelum dan sesudah kemenangan, masing-masing akan mendapat syurga kurniaan Allah. Sesungguhnya syurga Allah tetap terbuka luas bagi mereka yang berjuang dan berinfaq di jalan-Nya, tanpa mengira masa dan tempat. Tetapi kita perlu ingat bahawa syurga Allah itu pun bertingkat-tingkat. Oleh itu marilah kita berusaha untuk mendapat syurga Allah yang paling tinggi.