Make your own free website on Tripod.com
  
Firman Allah SWT
"Dan apa sahaja harta yang baik  yang kamu nafkahkan, maka pahalanya itu untuk kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, nescaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup sedang kamu sedikit pun tidak akan dianiaya."
(Surah Al Baqarah : 272)
  KATA-KATA ALUAN
 
PENGENALAN
Sekolah Rendah Ibn Khaldun (SRIK) yang didaftarkan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor telah ditubuhkan pada sesi 1991/1992 di Klang di bawah kelolaan ahli-ahli pertubuhan HALUAN (No. Pen.4588/89) dengan jumlah murid seramai 39 orang dan 5 orang tenaga pendidik. Jumlah murid tersebut terus meningkat setiap tahun. Sehingga kini (1994) jumlah murid yang berdaftar di SRIK  ialah 76 orang.
Selaras dengan bilangan murid yang terus meningkat, SRIK memerlukan bangunan dan infrastruktur yang lengkap agar objektif penubuhannya tercapai sepenuhnya.
 
MATLAMAT PENDIDIKAN
Secara umum, matlamat pendidikan SRIK ialah untuk melahirkan insan rabbani yang cemerlang di dalam semua bidang untuk memenuhi keperluan negara di abad ke 21. Bidang pengajian yang didedahkan kepada murid-murid termasuklah akhlak, akademik, dinniyah, sains dan teknologi.
Kurikulum yang dirangka adalah merangkumi kurikulum yang disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan  Malaysia dan Jabatan Agama Islam Selangor.
 
KEMUDAHAN FIZIKAL SEKOLAH
Buat masa ini kelas-kelas dikendalikan di sebuah bangunan mengandungi empat bilik darjah 
dan di bangunan sementara yang disewa daripada anggota-anggota HALUAN. 
Sebuah surau telah dibina hasil sumbangan para dermawan dan digunakan untuk 
melaksanakan aktiviti ibadat khusus dan ko-kurikulum.
Padang permainan juga disediakan untuk memberikan kemudahan kepada murid-murid untuk menjalankan kegiatan riadah dan ko-kurikulum seperti Kelab Putera dan Puteri Islam.
 
PROJEK PEMBANGUNAN SRIK
Projek pembangunan sekolah dibahagikan kepada dua fasa. Fasa pertama ialah pembinaan Sekolah Rendah Ibn Khaldun dan fasa kedua ialah pembinaan Sekolah Menengah Ibn Khaldun.
Tujuan utama risalah ini disediakan ialah untuk mendapatkan sumbangan kewangan daripada para dermawan bagi menjayakan pembinaan sekolah dalam kedua-dua fasa tersebut.
FASA PERTAMA
Pembinaan fasa pertama bangunan SRIK mengandungi 12 bilik darjah, pejabat, bilik guru, pusat sumber, bilik makmal, dewan dan kantin. 
Setakat ini pihak pentadbir sekolah telah membelanjakan sebanyak RM 110,000 untuk menyiapkan sebahagian dari sistem fizikal persekolahan untuk fasa pertama. Wang ini adalah hasil sumbangan daripada para dermawan.
Namun anggaran kos tambahan yang diperlukan untuk menyiapkan bangunan tiga tingkat dan kelengkapan sekolah dalam fasa pertama adalah sebanyak RM 600,000 lagi. Bangunan 
tiga tingkat ini perlu disiapkan dengan kadar segera dan sumbangan 
dari dermawan amatlah diperlukan. 
FASA KEDUA
Penubuhan Sekolah Menengah Ibn Khaldun adalah merupakan rancangan jangka panjang yang diusahakan oleh Lembaga Pentadbir SRIK agar penerusan pembelajaran murid-murid berlaku dengan lancar. Lembaga Pentadbir menganggarkan kos untuk pembelian tapak sekolah dan pembinaan awal bangunan sekolah menengah menelan belanja 
RM 1,000,000 (Sejuta Ringgit Malaysia)
 
SKIM SUMBANGAN
Lembaga Pentadbir SRIK menyediakan beberapa bentuk skim sumbangan kepada para dermawan. Skim tersebut adalah seperti berikut.
    KOD          BENTUK  SUMBANGAN 
    SK1            Sumbangan Kewangan Am 

    SK2            Sumbangan Kewangan Secara (satu lot) Wakaf untuk tapak tanah SRIK. 
                       Nilai wakaf ialah RM 10 sekaki persegi. 

    SK3            Sumbangan kewangan untuk (satu lot) pembinaan bangunan SRIK. 
                       Nilai sumbangan secara wakaf ialah RM 50 sekaki persegi. 

    SK4            Sumbangan kewangan untuk (satu lot) pembinaan sebuah bilik darjah 
                       dengan kos RM 30,000 

    SK5            Sumbangan kewangan secara (satu lot) wakaf untuk pembelian tapak 
                       tanah Sekolah Menengah Ibn Khaldun yang bernilai RM 10 sekaki persegi 

    SK6            Sumbangan kewangan secara (satu lot) wakaf untuk pembinaan bangunan 
                       Sekolah  Menengah Ibn Khaldun yang bernilai RM 50 sekaki persegi.

 
Selamat Menderma
Semoga Sumbangan Anda Diberkati Allah Dan Diterima Sebagai Amal Jariah
 
BORANG SUMBANGAN