Sifat marah adalah sifat yang Allah
anugerahkan kepada setiap manusia. Marah sangat berguna dan berfaedah
seandainya dibendung oleh pemikiran yang waras dan dikawal oleh keimanan
kepada Allah.
Misalnya marah kepada maksiat yang
berleluasa dalam masyarakat
akan mendorong seseorang untuk berdakwah
dan berjihad membetulkannya. Orang yang kuat imannya marah kepada
maksiat dan sukakan kebaikan, sebaliknya orang yang lemah iman suka kepada
maksiat dan marahkan kepada kebaikan.
Sifat marah yang berlandaskan hawa
nafsu pula membawa kepada kerosakan. Pernah diriwayatkan oleh Abu
Hurairah r.a bahawa seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w lalu
berkata, "Ya Rasulullah, wasiatlah kepadaku dengan satu wasiat yang mudah
supaya
saya tidak lupa". Lalu Baginda
bersabda, "Janganlah kamu marah".
Dalam riwayat yang lain, dari lbn Umar r.a. Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "Tidak ada suatu yang ditelan oleh seorang hamba yang terlebih baik melainkan sesiapa yang menelan marahnya semata-mata kerana Allah".
Maksud hadis yang lain pula, "Orang yang paling kuat ialah orang yang paling kuat menahan marahnya" .
Di akhirat nanti Allah SWT akan memanggil orang yang kuat menahan marahnya dari khalayak ramai dan dibenarkan memilih mana-mana bidadari yang disukainya.
Untuk mengawal marah yang sedang bergelojak, Rasulullah s.a.w pernah berpesan, "Marah itu dari syaitan. Syaitan dijadikan daripada api dan api boleh dipadamkan dengan air. Bila seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwudhuk."