|
Berikut disiarkan terjemahan wawancara wartawan majalah Ad-Dakwah, MUJAHID MILLIJI, dengan Imam Islam dalam tentera Amerika, AHMAD ABDUR RASYID MUHAMMAD, sewaktu beliau menghadiri satu persidangan Islam di Kaherah, Mesir. Wawancara itu berkisar mengenai sikap anggota tentera Amerika terhadap Islam dan permasalahan semasa yang lain.
SOALAN:
Apakah terdapat sekatan terhadap dakwah Islam di dalam barisan tentera
Amerika?
ABDUR RASYID:
Hingga kini tiada sebarang sekatan untuk seseorang menjalankan tugas
dakwahnya kepada Islam. Ini berpandukan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Serulah ke jalan Tuhanmu kepada mereka dengan hikmah dan
peringatan yang baik.”
Kita berkewajiban beriltizam dengan cara ini semasa berhadapan dengan orang yang bukan Islam.
Saya sendiri di dalam unit tentera Amerika sentiasa menghadiahkan buku-buku dan majalah-majalah serta bahan-bahan bercetak lain kepada setiap orang bukan Islam yang menziarahi saya. Di samping itu saya juga mengajak mereka menghadiri solat Jumaat atau perjumpaan umum umat Islam seperti mengikuti khutbah Jumaat dan beberapa pengajian Islam. Selepas itu kita berikan mereka peluang untuk berfikir mengenai hakikat Islam dan prinsip-prinsipnya kerana Islam berpegang dengan konsep "tiada paksaan dalam beragama”.
Alhamdulillah kini ramai rakyat Amerika memeluk Islam. Mereka mengisytiharkan keislaman mereka setelah duduk dengan saya. Mereka mengisytiharkannya setelah mengkaji dan berfikir sedalam-dalamnya tanpa sebarang paksaan atau tekanan.
Mengenai jawatan Imam Islam di dalam tentera Amerika, tiada seorang pun yang memikirkannya sebelum ini. Cuma akhir-akhir ini telah dipersetujui dan saya dilantik ke jawatan ini dengan peranan di dalam pengurusan dakwah Islamiyah di kalangan orang-orang Islam di dalam tentera Amerika. Perlantikan tersebut dibuat oleh Pentagon, iaitu Kementerian Pertahanan Amerika.
Urusan ini, Alhamdulillah, adalah dengan iradah (kehendak) ALlah SWT, bukannya kehendak Pentagon. Allah SWT. membuka peluang untuk kaum Muslimin di dalam angkatan tentera Amerika dengan memperuntukkan seorang pendakwah khusus menguruskan urusan mereka dan mengajar mereka pelajaran-pelajaran agama serta mempertahankan hak-hak mereka.
SOALAN:
Apakah ada jaminan wujud kebebasan dalam masyarakat Amerika secara
umumnya?
ABDUR RASYID:
Pada masa kami mengadakan persidangan tahunan untuk pemuda Arab Islam
Amerika (MAYA), ianya telah dihadiri oleh tidak kurang lima ribu peserta,
sedangkan pada awal persidangannya pada sembilan tahun lepas tidak lebih
daripada tiga ratus orang sahaja.
Selain itu terdapat aktiviti-aktiviti istimewa di kalangan pelajar-pelajar universiti dan fakulti-fakulti di Amerika secara keseluruhannya. Malah tiada satu fakulti pun yang tidak menyediakan musalla (tempat solah) untuk pelajar Muslim menunaikan solat Jumaat dan tiada suatu bandar pun di Amerika sekarang ini yang tidak mempunyai pusat-pusat Islam dan masjid-masjid. Begitu juga dengan semua perayaan atau aktiviti keagamaan di peringkat awam disertai orang Islam di sana.
Sebagai contoh, saya sendiri adalah anggota di dalam Lembaga Dialog Kristian-Islam-Yahudi, di Wilayah Colorodo. Sekiranya terjadinya sesuatu peristiwa yang menyentuh permasalahan agama secara umum, biasanya kami akan menjemput seorang tokoh daripada Pusat Islam untuk menjelaskannya bagi pihak Islam di dalam pertemuan-pertemuan yang bersangkutan dengan dakwah.
Alhamdulillah, masa depannya amat istimewa dan cemerlang. Ini adalah limpahan ALlah SWT. Saya berkongsi pendapat dengan salah seorang tokoh Islam di Amerika bahawa qada’ ALlah SWT telah menentukan ke atas orang Islam supaya berhijrah ke Amerika kerana kebaikan sedang menunggu untuk diagih-agihkan kepada umat Islam.
Amerika Syarikat hari ini merupakan suatu kuasa besar dunia. Sekiranya orang Islam mampu mempengaruhi politik Amerika dan keputusan di Amerika, tentu akan memberi pulangan kepada saudara-saudara kita di sini. Lobi Islam akan tiba.
SOALAN:
Apakah ada kemungkinan orang Islam akan memainkan peranan yang menonjol
dan berkesan di dalam menangani politik Amerika seperti yang telah dimainkan
oleh bangsa Yahudi?
ABDUR RASYID:
Untuk membolehkan kaum Muslimin mempunyai peranan di dalam pembentukan
dasar Amerika, orang Islam perlu berperanan secara positif. Kita perlu
tahu bahawa dasar Amerika bukanlah keputusan yang dibuat oleh presiden
secara individu yang boleh dilaksanakan sebaik sahaja dikemukakan. Sebaliknya
sebelum dilulus dan dilaksanakan, kajian demi kajian dijalankan oleh
pusat kajian dasar serta oleh ahli Kongres terlebih dahulu.
Kami orang-orang Islam di sini apabila sempurna pemobilisasian suara-suara kepada setiap yang sampai umur hak untuk mengundi dalam pilihanraya maka di ketika itu ahli kongres akan mengambil perkiraan dengan kami. Kerana di masa itu kami sudah memiliki kekuatan penentu.
Sewaktu rang undang-undang dibentangkan kepada mereka, barulah mereka akan mendapatkan reaksi kami terhadap rang undang-undang tersebut. Selepas itu barulah mereka akan membuat perkiraan mereka sama ada mempersetujui rang undang-undang tersebut atau menolaknya.
Hari ini kita hanya menuntut tanpa mengambil bahagian di dalam pilihanraya kecuali sedikit sangat, menyebabkan kita kehilangan nilai dan neraca timbangan dalam masyarakat Amerika yang keseluruhannya mengambil berat tentang siapa yang mempunyai suara dalam pilihan raya sebagai manusia barisan pertama manakala pembayar cukai adalah barisan kedua.
Orang Islam telah meningkat bilangan mereka. Mereka telah hampir sepuluh juta orang. Hari ini telah wujud usaha beberapa pertubuhan dan organisasi Islam untuk menggerakkan kekuatan tidak kurang daripada dua juta muslim yang berhak mengundi di dalam pilihan raya akan datang untuk memilih Presiden Amerika.
Suara ini akan memberi pengaruh besar terhadap pemilihan dan menjadi kuasa bertindak di dalam pelbagai sektor, kerana rakyat mereka yang turun mengundi hanya 35 peratus sahaja daripada keseluruhan rakyat yang berdaftar. Ini yang menjadikan suara Yahudi mempunyai nilai walaupun jumlah mereka hanya enam juta orang sahaja di Amerika.
SOALAN:
Apakah ada kemungkinan orang Islam di lantik di dalam Majlis Perwakilan
Amerika kelak?
ABDUR RASYID:
Apabila kita berjaya mengumpul suara pengundi Islam seperti yang ditegaskan
sebelum ini, senanglah untuk kita menyediakan wakil umat Islam di dalam
Majlis Perwakilan Amerika kelak.
Wakil orang-orang Arab secara perlahan-lahan telah memasuki Kongres. Keturunan Arab yang pertama dilantik sebagai senator ialah James Abu Rizq (Kristian) diikuti oleh keturunan Arab lain seperti Jane Snawn (juga Kristian) yang berasal dari Lubnan.
Insyaallah, giliran orang Islam akan tiba kerana apabila terdapat premis, ada laluan yang mudah untuk menghantar anggota kita ke Parlimen.
SOKONGAN ILAHI
SOALAN:
Apakah pandangan saudara mengenai hubungan antara kaum muslimin Amerika
dengan saudara mereka di dunia Arab dan di dunia Islam lain?
ABDUR RASYID:
Kami umat Islam di Amerika merasai bahawa kami adalah sebahagian daripada
dunia Islam. Suatu bahagian yang tidak boleh dipisahkan. Kami terikat dengan
dunia Islam kerana agama, bahasa dan tamadunnya.
Saya rasa dunia Islam juga berbangga dengan kewujudan saudara mereka di bumi Amerika. Umat Islam di Amerika dan dunia Islam lain meyakini mereka sebagai suatu umat yang apabila salah satu anggota jasadnya mengadu kesakitan maka seluruh anggota lain akan turut merasai kesakitan, terasa demam dan berjaga malam. Sebenarnya kita adalah umat yang satu sekalipun dipisahkan oleh sempadan geografi.
SOALAN:
Apakah reaksi orang awam Amerika ekoran kemasukan Mike Tyson dan tokoh-tokoh
lain ke dalam Islam?
ABDUR RASYID:
Tidak syak lagi sekiranya terdapat satu bintang yang dikagumi ramai,
tidak kira di dalam apa-apa bidang, sama ada sukan, seni, politik atau
sosial, sudah pasti pencintanya akan terpengaruh dengan pemikiran dan tindakan
yang mengikuti perilaku hidupnya. Pastinya tindakan tersebut juga mempengaruhi
mereka.
Kemasukan bintang sukan antarabangsa seperti Mike Tyson menyebabkan beribu-ribu orang berhadapan dengan peristiwa ini dan mereka berbelah bahagi dan ada di antara mereka terus memasuki Islam kerana terlalu kagum dengannya.
Sebahagian yang lain pula bertawaquf (bertangguh) dan cuba menilai kembali kebenaran Islam dan hakikatnya. Dengan membaca dan mengkaji selalunya akan membawa mereka memeluk Islam. Sebahagian yang lain yang sebelum ini memusuhi Islam bertukar menjadi orang yang bersimpati pula dengan Islam. Inilah natijah terakhir dan pulangan sebenar yang berpihak kepada Islam.
Pokoknya ia adalah sebahagian dari sokongan Ilahi (ALlah SWT) kepada Islam dan umatnya di tengah-tengah urusan realiti dunia Islam yang mendukacitakan ini.
BAITULMAQDIS ADALAH PERSOALAN AQIDAH DAN AGAMA
SOALAN:
Mengenai permasalahan dan persoalan Palestin serta masa depan Baitulmaqdis.
Sebenarnya di manakah terletaknya persoalan ini di dalam keperihatinan
kaum muslimin Amerika? Bagaimana pula mereka melihat persoalan minoriti
di Bosnia, Kashmir dan tempat lain?
ABDUR RASYID:
Tidak syak lagi Baitulmaqdis adalah hak Islam dan merupakan milik umat
Islam. Ia merupakan tanah haram ketiga bagi umat Islam. Dengan apa cara
sekalipun ia tidak boleh dilupakan atau diabaikan. Ia adalah aqidah dan
din kita kerana Baitulmaqadis adalah sebahagian daripada aqidah serta disebutkan
di dalam kitab Al-Quran seperti yang kita baca di dalam Surah Al-Isra’.
Permasalahan Palestin dan minoriti umat Islam di tempat-tempat lain adalah persoalan yang berlegar di dalam pemikiran umat Islam.
Di Amerika, kami sering mengadakan seminar dan forum mengenainya
untuk mengkaji dan mendedahkannya dalam persidangan-persidangan tahunan.
Malah di sini biasanya kami membentuk pelbagai unit yang untuk mendapat
perhatian dan sokongan di kalangan masyarakat umum Amerika termasuk di
universiti-universiti dan di pusat-pusat Islam.
Kami juga menyediakan bahan yang kami sediakan sama ada dalam bentuk
audio, visual atau bahan-bahan bacaan.
Di samping itu kami berkempen membentuk dana untuk mengumpul bantuan
bagi membantu kaum muslimin yang mengalami penderitaan. Melalui aktiviti
pusat-pusat Islam di beberapa bandar, kami berusaha mengumpul pertolongan
berbentuk barangan dan wang dan dikirimkan kepada umat Islam
Bosnia dengan apa jalan atau cara yang dapat kami lakukan.
Kami juga menyediakan ruang publisiti untuk mereka di tengah-tengah
masyarakat dan kami mengirim terus bantuan ke sana mengikut kadar yang
termampu.
Saya berpendapat bahawa pengabaian kaum muslimin di dalam usaha membantu saudaranya yang mengalami kesusahan itu merupakan motivasi terkuat kepada musuh-musuh Islam untuk bertindak ganas dan membunuh mereka. Penghapusan etnik terhadap umat Islam di beberapa tempat adalah kelemahan umat Islam sendiri.
SOALAN:
Pada pendapat saudara adakah usaha diplomatik akan memberi faedah untuk
membantu umat Islam?
ABDUR RASYID:
Persidangan demi persidangan sebenarnya tidak memberi apa-apa kebaikan
pun, malah tidak memberi apa-apa kesan kepada mana-mana peringkat. Ia tidak
lebih daripada kita bertemu, menggariskan resolusi-resolusi dan kemudiannya
berpisah tanpa sebarang tindakan. Hanya berjanji untuk bertemu lagi pada
tahun akan datang tetapi tanpa apa-apa keresahan dan tindakan pun.
Episod yang sama di dalam rangkaian komedi yang tidak berhujung tidak ubah seperti seorang lelaki pergi ke bilik air untuk mandi. Di dalam bilik itu ia menanggalkan bajunya dan berdiri sebentar selepas itu mengenakannya semula. Kemudian keluar dari bilik itu. Keadaannya ketika keluar adalah sama ketika ia memasukinya.