KHUTBAH INI DISAMPAIKAN PADA 9HB ZULHIJJAH TAHUN KESEPULUH HIJRAH.
Wahai manusia!
Dengarlah baik-baik apa yang hendak
aku katakan ini. Aku tidak
mengetahuai apakah aku akan bertemu
lagi dengan kalian selepas tahun
ini.Oleh itu dengarlah dengan teliti
kata-kataku ini dan sampaikanlah
kepada orang-orang yang tidak hadir
di sini pada hari ini.
Wahai manusia!
Sepertimana kamu mengangap bulan
ini dan kota ini suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Islam
itu amanah yang suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada
pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain
tidak menyakiti kamu. Ingatlah! kamu pasti menemui Tuhan kamu dan Dia pasti
membuat perhitungan atas segala amalan kamu.
Allah telah mengharamkan riba. Oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan, demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara yang besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara yang kecil.
Wahai manusia!
Sebagaimana kamu menpunyai hak keatas
isteri-isterimu, maka mereka juga menpunyai hak ke atas dirimu, mereka
berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanlah
wanita-wanita
kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah
terhadap mereka kerana mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia
dan hak kamu atas mereka ialah, mereka sama sekali tidak boleh memasukkan
orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan
zina.
Wahai manusia!
Dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku
ini. Sembahlah Allah. Dirikan
sembahyang lima waktu sehari semalam.
Berpuasalah dibulan Ramadan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaanmu.
Kerjakanlah ibadat haji
sekiranya kamu mampu. Ketahuilah
bahawa setiap orang Islam adalah
saudara kepada setiap orang Islam
yang lain. Kamu semua adalah sama,
tidak seorang pun yang mulia
dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh. Ingatlah!
Kamu akan mengadap Allah satu hari nanti untuk dipertanggunjawabkan di
atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah! Agar jangan
sesekali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia!
Tidak ada lagi nabi atau rasul yang
akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia
, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan
kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang
sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya,
nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan sunnahku.
Hendaklah orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada
orang lain. Semoga orang yang terakhir ini lebih memahami kata-kataku dari
mereka yang terus mendengar dariku.
Saksikanlah ya Allah, bahawa sanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.