Sekali imbas kelihatan kenyataan
ini benar. Tapi apakah Allah
S.W.T yang menurunkan ajaran ini
telah membentuknya dengan
sedemikian rupa? Atau memang
dikehendaki Allah, Penciptanya agar Islam ini sepanjang masa, berseteru
dengan ajaran-ajaran lain?
Tetapi yang jelas ajaran Islam memang
bercanggahan dalam beberapa
sudut sahaja, malah Islam sememangnya
tidak ada titik pertemuan langsung di dalam ajaran dasarnya dengan agama-agama
lain, terutamanya apa yang dikenal sebagai persoalan aqidah.
Sebelum kita membicarakan tajuk ini dengan lebih jauh, terlebih dahulu harus kita peringatkan diri kita bahawa percanggahan ini bukanlah sengaja dibentuk oleh Islam atau dalam erti kata yang lain Allah S.W.T sengaja membentuk dan menurunkan agama ini supaya ia bercanggahan dengan agama-agama lain, tetapi yang sebenarnya agama-agama lainlah yang mencanggahi ajaran Islam, sekaligus mencanggahi kehendak Allah S.W.T. Kerana ajaran agama-agama lain adalah dibentuk oleh pemikiran manusia, yang bercampur aduk dengan khurafat, dongeng, warisan pusaka amalan nenek moyang terdahulu selain dari kemuslihatan peribadi individu atau kelompok dan kasta tertentu.
Lebih tepat lagi, bahawa agama Islam
adalah agama pokok dan asal kejadian alam ini sedangkan agama-agama lain
tidak lebih dari pendatang tanpa izin hasil dari cetusan fikiran manusia.
Islam dan pemeluknya sekali-kali tidak menganggap bukan Muslim itu sebagai
musuhnya.
Kenyataan ini dapat dibuktikan melalui
sirah Rasulullah SAW dan sejarah perkembangan Islam. Malah kehendak
Islam itu sendiri menghendaki agar penganut agama lain wajib diberi bimbingan
dan petunjuk agar mereka semua bebas dari belenggu alam kegelapan kepada
alam cahaya dan kebebasan yang sejati. Adapun laungan yang mengatakan
Islam berkembang dengan mata pedang tidak lebih daripada laungan kaum orientalis
yang menjadi tentera upahan kepada kaum penjajah Barat.
Islam yang disifatkan sebagai rahmat kepada sekelian alam oleh Allah melalui pengutusan rasul utusan-Nya, adalah rawatan kepada permasalahan dan penyakit kronik di dalam masyarakat jahiliah dan sekaligus sebagai penyelamat umat manusia di dunia ini dari bencana dan kemusnahan hasil ciptaan mereka sendiri dan dari bala kemurkaan Allah di dunia ini mahupun di akhirat.
Adapun perseteruan yang diperlihatkan
oleh Barat hari ini bukanlah datangnya daripada Islam atau pemeluknya malah
kalau diteliti, umat Islamlah golongan yang paling lemah berbanding dengan
bangsa-bangsa yang lain. Di dalam keletihan dan kelesuannya ini,
bangsa Barat secara khususnya tidak henti-henti mengganyang umat Islam
di mana-mana sahaja, hingga melewati batas-batas perikemanusiaan, tanpa
mengambil kira apakah mereka itu pernah mencabar kekuatan Barat ataupun
tidak.
Di sini, kita cuba membentang beberapa
motif perseteruan bangsa Barat terhadap Islam.
Pertama:
Pihak Barat sudah lama menyedari
bahawa di sana tidak ada satu ajaran pun yang bertentangan dengan ajarannya
selain daripada Islam biarpun ajaran itu bernama komunis, kerana komunis
tidak lebih daripada satu ajaran yang direkacipta oleh akal manusia sendiri.
Kedua:
Pihak Barat menyedari pada masa
mereka melakukan penganiyaan dan kezaliman, tidak ada satupun ajaran yang
berani dan mampu mencabar kezaliman tersebut selain daripada Islam.
Ketiga:
Tidak ada satu ajaran pun di muka
bumi ini yang mampu mengemukakan perancangan pembentukan semula dan gagasan
tamadun untuk umat selain daripada Islam yang kaya dengan khazanah ilmu
dan budaya yang ditinggalkan dan pihak penjajah Barat berasakan bahawa
hal ini boleh mengancam kewibawaan mereka.
Keempat:
Pemeluk-pemeluk Islam sama sekali
tidak akan tunduk dan patuh kepada arahan manusia. Satu ajaran yang
membentuk penganut-penganutnya supaya hanya tunduk kepada perintah Allah
sahaja. Ini menjadikan kaum muslimin tidak boleh diperhambakan dan dicucuk
hidung serta ditonton seperti seekor lembu ke tempat penyembelihan.
Sikap dan aqidah seperti ini menghalang penjajah Barat dari menguasai kaum
Muslimin sepenuhnya.
Golongan yang memusuhi Islam tetap berusaha sedaya upaya mereka untuk menghapus dan menghalang kewujudan Islam. Biar serendah mana pegangan seseorang Muslim itu dengan ajaran Islam, namun kebencian dan perseteruan pasti membara di dalam dendam kesumat mereka. Hal ini harus disedari oleh setiap Muslim dan kebenaran hakikat ini telahpun diperingatkan oleh Allah di dalam al Quran yang bermaksud:
"Kaum Yahudi dan Nasrani itu tidak akan redha kepada engkau kecuali setelah engkau mengikuti agama mereka". (AI Baqarah: 120)